News_archive

Najib Lancar Fasa Pertama Pr1ma Melibatkan 42,000 Unit Rumah

By Monday July 4th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin melancarkan fasa pertama Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang akan melibatkan pembinaan 42,000 unit rumah di 20 tapak strategik yang sudah dikenal pasti.

Perdana Menteri berkata lapan projek dijangka dapat dimulakan pada tahun ini dan tahun hadapan di atas 20 tapak tersebut yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang, Rawang dan Seremban.

Katanya PR1MA ini ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana tetapi tidak melebihi daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau pun bekerja sendiri.

“Kerajaan menyedari kesulitan yang dihadapi oleh golongan yang berpendapatan sederhana yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi tetapi pada masa yang sama juga tidak layak dipertimbangkan dalam program perumahan awam kos rendah sedia ada.”

“Pelaksanaan PR1MA ini akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik,” katanya ketika melancarkan tapak pertama PR1MA di Presint 11 di sini.

Presint 11, Putrajaya telah dipilih untuk menjadi tapak pertama skim PR1MA di mana projek itu menyediakan 560 unit pangsapuri di kawasan seluas 3.04 hektar (7.6 ekar).

Perdana Menteri sebelum itu menetapkan beberapa parameter bagi skim PR1MA, antaranya harga jualan setiap unit rumah PR1MA adalah antara RM150,000 hingga RM300,000, yang bergantung kepada lokasi dan saiz unit dan keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Pemohon haruslah pembeli kali pertama bagi skim PR1MA dan perlu mendiami rumah tersebut dan mereka boleh mendapatkan pinjaman sehingga 105 peratus daripada institusi kewangan terpilih dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun,” kata Najib.

Bagi mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata “pembeli unit rumah PR1MA tidak akan dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.”

“Tujuan sebenar kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi,” katanya.

Najib berkata lebihan 5.0 peratus daripada pinjaman 105 peratus yang diberikan itu juga diharapkan dapat membantu pembeli menanggung kos insurans dan yuran guaman bagi menyediakan perjanjian sewa beli mereka.

Katanya pembeli juga mempunyai pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman.

Caruman KWSP itu juga boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi menerusi mekanisme sedia ada termasuk skim “ring-fencing” yang ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan, katanya.

“Sebagai galakan tambahan, saya ingin mengumumkan duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah program PR1MA,” katanya.

Najib berkata program PR1MA dijayakan melalui kaedah Perkongsian Awam-swasta di mana kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri juga menggalakan supaya menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Selain itu, katanya para pemaju juga hendaklah mengaplikasikan konsep teknologi hijau dan mesra alam dalam pelaksanaan projek PR1MA.

“Dengan cara ini, rakyat bukan sahaja dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki tetapi juga dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkongsepkan teknologi hijau dan mesra alam,” katanya.

Antara pemaju yang terlibat dalam fasa pertama PR1MA itu ialah Putrajaya Holdings, SP Setia Bhd, Tradewinds, Cyberview Sdn Bhd, Sime Darby Property, MRCB Resources Bhd, 1MDB, melibatkan keluasan keseluruhan 370.04 hektar (825.1 ekar).

Sumber : Bernama

Leave a Reply