News_archive

Najib Lancar Dasar Agromakanan Negara 2011-2020

By Saturday January 14th, 2012 No Comments

PARIT BUNTAR, 14 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 yang menggariskan lapan idea utama termasuk mengenai jaminan bekalan makanan dan pembangunan pertanian mampan.

Dasar itu yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Pertanian Negara ketiga (DPN3) yang tamat pada 2010 dilancarkan sempena majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2011 yang berlangsung di Padang Bandaran di sini di hadapan lebih 10,000 hadirin termasuk warga pertanian.

Dasar itu yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Sept lepas, adalah sumber rujukan dan panduan kepada jabatan dan agensi dalam pelaksanaan program projek kementerian itu.

Antara idea utama yang turut diketengahkan dalam dasar itu adalah pembangunan pertanian bernilai tinggi, pembangunan pertanian mampan, pelaburan swasta pemangkin transformasi pertanian moden, modal insan pertanian bestari dan berinformasi.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggariskan strategi-strategi khusus bagi mencapai objektif dasar itu iaitu melibatkan pembangunan industri agromakanan merangkumi industri padi dan beras, perikanan tangkapan, ternakan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta kelapa, pertanian bernilai tinggi, industri asas tani dan agropelancongan.

Objektif DAN adalah untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, menjadikan agromakanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan serta meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.

Pada majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menyampaikan buku Dasar Agromakanan Negara kepada Najib.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Noh berkata kerajaan sentiasa prihatin dalam membantu golongan peladang, penternak dan nelayan kerana mereka memainkan peranan dalam memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kesejahteraan kehidupan golongan tersebut, pelbagai insentif telah diberikan.

“Para nelayan memperoleh RM200 pada setiap bulan tidak kira sama ada mereka keluar ke laut atau pun tidak. Kerajaan juga memberi peruntukan khas perumahan kepada golongan nelayan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Beliau berkata selain itu Majlis Penternak Negara ditubuhkan bagi memudahkan penternak memperoleh tanah sendiri dalam membangunkan industri penternakan.

“Sebelum ini mereka (penternak) sukar untuk membuat pinjaman, sekarang mereka boleh membuat pinjaman di Agro Bank yang mana kerajaan peruntukkan sebanyak RM55 juta dan mereka boleh buat pinjaman sebanyak RM300,000 tanpa penjamin,” katanya.

Noh berkata bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang utama ekonomi negara, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing secara bersepadu dan seiring bagi mengerakkan pelbagai aktiviti pertanian dan industri asas tani.

Pada majlis tersebut, pengusaha ternakan lembu integrasi Berahim Bedu dari Felda Sebertak, Bera, Pahang diumumkan sebagai Peladang Jaya Lelaki Peringkat Kebangsaan dan pengusaha projek pemprosesan makanan sejuk beku dan kuih raya Misripah Marjan dari Tanjung Sepat, Batu Laut, Selangor pula sebagai Peladang Jaya Wanita Peringkat Kebangsaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply