News_archive

Najib Lakukan Lawatan Kerja Ke Afrika Selatan

By Saturday January 7th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan kerja dua hari ke Afrika Selatan bermula Sabtu bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Mangaung.

Beliau diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Lawatan itu atas undangan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma yang juga Presiden ANC, kata kenyataan Kementerian Luar.

Najib juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan Presiden Zuma serta menerima kunjungan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoko dan Ketua Menteri Wilayah Free State, Afrika Selatan, Sekgobelo Elias Magashule.

Kenyataan itu berkata Malaysia dan Afrika Selatan mempunyai hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin serta bercirikan kerjasama pelbagai bidang. Afrika Selatan juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika.

“Lawatan Perdana Menteri yang pertama ke Afrika Selatan ini adalah manifestasi sentimen akrab yang dikongsi bersama antara kepimpinan, kerajaan dan rakyat Malaysia dengan Afrika Selatan,” kata Kementerian Luar.

Menurut kenyataan itu, kehadiran Najib pada sambutan ulang tahun ke-100 ANC melambangkan sokongan Malaysia kepada parti itu yang berjuang ke arah pembebasan Afrika Selatan daripada dasar aparteid, yang berjaya dicapai pada 1994.

Lawatan ini akan meletakkan hubungan dua hala antara kedua negara ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam menjalin persefahaman lebih bermakna, kata kenyataan itu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply