News_archive

Najib Lakukan Lawatan Kerja Dua Hari Ke London, Isnin

By Sunday May 13th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja dua hari ke London, United Kingdom, bermula Isnin.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan kerja itu adalah atas jemputan Putera Wales, Putera Charles bagi menghadiri majlis resepsi bersempena dengan penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) oleh Ratu Elizabeth II.

Penganugerahan tersebut adalah amat signifikan memandangkan ia merupakan kali pertama ia diberikan kepada mana-mana institusi Islam di United Kingdom sejak penganugerahan Piagam Diraja oleh pihak diraja United Kingdom sejak tahun 1231.

Pada Mei tahun lepas, Perdana Menteri menyampaikan ucaptama bertajuk “Kesederhanaan dan Persefahaman Antara Tamadun” di OCIS Sheldonian Theatre, Universiti Oxford.

Syarahan Perdana Menteri itu diterima baik.

Putera Charles selaku penaung OCIS menjemput Najib untuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi OCIS yang jemputan tersebut diterima oleh Perdana Menteri.

Majlis Tertinggi OCIS merupakan satu kumpulan terpilih yang dianggotai pemimpin-pemimpin kanan dunia.

Keanggotaan Perdana Menteri dalam Majlis Tertinggi OCIS dan kehadiran beliau ke majlis resepsi itu akan meningkatkan lagi sokongan terhadap Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di peringkat antarabangsa khususnya nilai-nilai kesederhanaan sebagai pendekatan bagi menangani segala aspek ekstremisme.

Semasa di London, Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan satu majlis menandatangani dua memorandum persefahaman di antara syarikat Malaysia dan syarikat Britain.

Perdana Menteri juga akan bertemu dengan komuniti rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.

Source : Bernama

Leave a Reply