News_archive

Najib Kongsi Kegembiraan Perayaan Musim Sejuk Dengan Warga Tua

By Thursday December 22nd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar di wajah penghuni rumah orang tua di Kampung Baru Jalan Sungai Way di sini apabila mereka disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyambut Perayaan Musim Sejuk.

Kelihatan ceria dengan mengenakan kemeja biru muda dan tali leher ungu, Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra dengan penghuni berkenaan dan malah turut menikmati juadah pencuci mulut masyarakat Cina yang dikenali sebagai Tang Yuan atau Kueh Eeh.

Perayaan Musim Sejuk, disambut pada 22 Dis setiap tahun, ialah hari bagi masyarakat Cina menyambut kedatangan musim sejuk dan sebagai peringatan bahawa satu tahun telah berlalu.

Menurut kepercayaan tradisi kaum itu, umur seseorang itu setahun lebih tua selepas makan tang yuan.

Kunjungan Najib lebih bermakna apabila beliau menyumbang RM100,000 untuk rumah itu yang dihuni kira-kira 62 warga tua.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Setiausaha Politik perdana menteri, Wong Nai Chee berkata lawatan itu dirancang kerana minat mendalam perdana menteri terhadap adat resam kaum Cina, terutama festival Perayaan Musim Sejuk.

Walaupun lawatan itu singkat, namun sikap Najib yang mudah mesra dan ceria amat menyentuh hati Wong Wong Lan, yang berumur dalam lingkungan 90-an.

“Saya rasa amat gembira dapat bertemunya secara bersemuka. Pada pandangan saya, beliau seorang yang amat baik, mesra dan kacak,” kata Wong, yang telah tinggal di rumah itu selama tujuh tahun.

Wong, yang duduk di sebelah Najib, berkata: “Saya tanya perdana menteri dia suka makan kueh (tang yuan) atau tidak, tapi dia kata tak pernah makan, tapi selepas makan dia kata dia suka,” kata Wong sambil tersenyum lebar.

Rumah Orang-orang Tua di Kampung Baru Jalan Sungai Way dirasmikan oleh bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein, pada 26 Feb, 1966, ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply