News_archive

Najib Kirim Takziah Kepada Perdana Menteri Turki Ekoran Gempa Bumi

By Wednesday October 26th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengirim ucapan takziah kepada rakan sejawatannya dari Turki Recep Tayyip Erdogan berikutan gempa bumi yang melanda negara itu dengan teruk pada 23 Okt.

“Benarkan saya, bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan takziah ikhlas kepada tuan dan semua keluarga mangsa gempa bumi yang melanda Wilayah Van pada petang 23 Okt,” kata Najib dalam surat bertarikh (25 Okt) kepada Erdogan.

“Doa dan ingatan kami bersama anda dan rakyat Republik Turki pada saat-saat yang menyukarkan dan cukup mencabar ini,” kata Najib.

“Semoga Allah Maha Berkuasa memberikan rahmat dan belas ihsannya ke atas mangsa tragedi ini dan semoga roh mereka mendapat tempat di syurga,” kata beliau.

Najib turut menghubungi Erdogan menerusi telefon pada 6.40 petang (waktu tempatan) untuk merakamkan ucapan takziah beliau dan menawarkan bantuan kepada Turki.

Beliau berbual kira-kira 10 minit dengan rakan sejawatannya dari Turki itu.

Menurut agensi berita Reuters, gempa bumi dengan magnitud 6.6 itu mengorbankan sekurang-kurangnya 279 orang, menyebabkan beratus-ratus masih hilang dan lebih 1,300 cedera di bahagian tenggara Turki yang kebanyakannya didiami masyarakat Kurdish.

Sumber : Bernama

Leave a Reply