News_archive

Najib Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak Asean Ke-20 Di Kemboja

By Sunday April 1st, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-20 di Phnom Penh, Kemboja selama dua hari bermula Selasa ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan Ahad berkata Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, beberapa menteri kabinet serta pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan itu, sidang kemuncak bertemakan “Asean: Satu Komuniti, Satu Tujuan” itu akan didahului mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM), mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean Ketujuh, mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya Asean dan mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Sidang kemuncak itu juga akan membincangkan topik-topik berkenaan Deklarasi Phnom Penh “Asean: Satu Komuniti, Satu Tujuan” yang kandungannya termasuk usaha merealisasi Asean Bebas Dadah 2015 dan juga Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Semasa Sidang Kemuncak ini, para pemimpin kesemua 10 negara anggota Asean juga akan mengadakan sesi perjumpaan berasingan dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Organisasi-organisasi Masyarakat Awam (CSO) dan wakil-wakil belia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply