News_archive

Najib kesal parti pembangkang tuduh BN atur keputusan

By Monday May 25th, 2009 No Comments

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dibuat itu memihak kepada kerajaan.

“Tetapi apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.

“Mahkamah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Malah, keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak juga selaras pandangan pakar perundangan antarabangsa, Queen’s Counsel, (Peguam Diraja) Lord Anthony Lester.

“Kita dapatkan pendapat dan pandangan perundangannya berhubung perkara itu, baru-baru ini.

“Jika Queen’s Counsel boleh keluarkan pendapat bahawa kita berada di landasan yang betul seperti keputusan Mahkamah Rayuan, oleh itu jangan disalahertikan atau diberi pandangan negatif kepada badan kehakiman negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall di sini, semalam.

Najib juga membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana beliau sendiri pernah cuba menubuhkan kerajaan menggunakan cara sama dengan mempengaruhi 31 Ahli Parlimen BN untuk lompat parti.

“Sepatutnya dia (Anwar) tanya pada dirinya sendiri daripada buat tuduhan mengenai sistem kehakiman kita,” katanya ketika ditanya kenyataan Anwar yang mendakwa badan kehakiman negara sudah hancur dan penghakiman Mahkamah Rayuan itu mengikut selera politik serta arahan pihak tertentu.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Rayuan itu dapat menyelesaikan krisis politik di Perak, Perdana Menteri berkata: “Kerajaan harap ada kesudahannya proses ini supaya kerajaan dapat berkhidmat kepada rakyat.”
Bagaimanapun, katanya, Pakatan Rakyat mempunyai hak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mengenai kemungkinan BN mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), Najib berkata: “Itu pilihan terbuka pada kita, tetapi tidak semestinya ia satu-satunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti.”

Mengenai mogok lapar yang dirancang pembangkang untuk mendesak Sultan Perak membubarkan DUN, Perdana Menteri berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkenaan seharusnya menyerahkan isu itu kepada proses undang-undang.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply