News_archive

Najib: Kerajaan Turun Dekati NGO

By Sunday March 4th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan turun mendekati badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang peranannya pada masa kini diiktiraf semakin penting dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat.

Perdana Menteri berkata kerajaan, yang menyedari NGO sebagai kuasa baru yang semakin meningkat berikutan ledakan maklumat dan era globalisasi, mahu menjadikan NGO sebagai rakan kongsi strategik dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

“NGO-NGO merupakan rakan di peringkat akar umbi yang mempunyai kepimpinan yang secara sukarela menghadiahkan masa dan tenaga mereka untuk mencapai objektif kumpulan masing-masing sama ada memperjuangkan soal hak wanita, OKU dan perlindungan kepada kanak-kanak atau apa jua kepentingan.

“Maka mereka ini merupakan sebahagian daripada masyarakat kita yang bertambah lebih penting hari ini daripada masa-masa yang lalu,” katanya ketika merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) NGO bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib berkata: “Kita perlu membawa kerajaan lebih dekat lagi dengan NGO, kita perlu menentukan bahawa kita tidak menantikan mereka datang pada kita.

“Kita menyemarakkan lagi program outreach kita dan kita memastikan bahawa apa juga keputusan kita dibuat untuk cara mempermudahkan apa jua pertolongan kepada golongan yang amat memerlukan pertolongan daripada kerajaan,” katanya.

“Inilah pakej atau pendekatan baru kita. Jangan tunggu mereka datang kepada kita, kita pergi kepada mereka, jangan menyusahkan mereka, sebaliknya bantu mereka selesaikan masalah,” katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan tersebut selaras dengan konsep memperkasakan ‘social safety net’ yang diperjuangkan berbanding konsep ‘welfare state’ yang diamalkan oleh beberapa negara maju.

Beliau berkata kebanyakan negara ‘welfare state’ mengalami kejatuhan daripada segi ekonomi kerana kerajaan memberikan segala yang dituntut rakyat, yang tidak semestinya berusaha untuk maju.

Sikap sedemikian, katanya, boleh mengakibatkan kelebihan yang ada pada sesebuah negara daripada segi daya saing, tekad dan kekuatan dalaman menjadi tumpul sehingga menyebabkan sektor pembuatan dan ekonomi berpindah ke rantau Asia termasuk Malaysia, yang terbukti rakyatnya rajin dan tekun.

“Kita tak amalkan ‘welfare state’ tapi amalkan dasar memperkasakan dasar ‘social safety net’, membantu golongan yang perlu bantuan daripada kerajaan tanpa merosakkan nilai-nilai baik yang seharusnya kita jadikan sebati dengan rakyat negara ini,” katanya.

“Di Malaysia saya tekankan supaya kita bekerja kuat, sebab itu bila baru-baru ini bila pasukan bola sepak kita menang pingat emas Sukan SEA, ramai yang tweet saya bertanyakan ada cuti umum atau tidak.

“Saya kata kalau kita menang, kita patut kerja dengan lebih kuat lagi, itu hadiah kita,” katanya, sambil meminta agar dasar itu tidak disamakan dengan negara berkebajikan kerana kedua-duanya mempunyai konotasi berlainan.

Najib berkata kerajaan juga komited untuk terus membela dan memajukan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa melunturkan semangat mereka untuk berdikari.

Katanya komitmen kerajaan dalam membantu golongan berkenaan diterjemahkan menerusi pertambahan peruntukan kepada kementerian pimpinan Shahrizat daripada RM1.2 bilion kepada RM1.4 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata NGO dan golongan OKU perlu memahami bahawa kerajaan perlu mengembangkan ekonomi bagi membolehkan bantuan kerajaan diberikan kerana ia tidak seperti ibarat ‘yang pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek’.

“Inilah pendekatan yang diamalkan kerajaan dan sebab itulah di samping perkasakan ‘social safety net’ kita juga kaitkan ia dengan urus tadbir ekonomi dan pentadbiran negara yang ampuh, lebih mantap dan lebih berkesan lagi,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut merakamkan terima kasih atas mesej dan ikrar sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional yang disampaikan oleh lebih 20 peserta, mewakili 1,627 NGO dan hampir 20,000 anggota pelbagai pertubuhan yang hadir pada majlis itu yang menyatakan akan memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau serta Shahrizat.

“Mudah-mudahan dukungan yang diberikan akan mencapai matlamat dasar ‘social safety net’ dan program KAR1SMA akan berjaya sepenuhnya,” katanya yang turut berjanji akan menyemak dan memberi pertimbangan atas segala permohonan yang dikemukan NGO sebelum itu.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada Shahrizat yang berjaya mengumpulkan kehadiran NGO yang ramai, sekaligus menunaikan impiannya untuk bertemu secara bersemuka dengan golongan sepertimana yang dizahirkannya sebelum ini.

“Saya nak ucap tahniah pada Datuk Seri Shahrizat sebab saya tahu dia bekerja kuat untuk majlis ini.

“Dalam lif tadi saya nampak dia gabra sikit sebab takut sangat majlis ini tak dapat sambutan tapi alhamdulillah majlis ini amat berjaya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply