News_archive

Najib Kembali Ke Tanah Air

By Monday May 9th, 2011 No Comments

SEPANG, 9 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-18 selama dua hari di Jakarta, Indonesia.

Pesawat khas yang membawa beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), kira-kira pukul 11.30 malam.

Sidang kemuncak dua hari bertema Komuniti Asean dalam Komuniti Global itu, dihadiri ketua-ketua kerajaan atau wakil mereka dari kesemua 10 negara anggota Asean untuk bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang ada kepentingan dengan Asean.

Pada sidang kemuncak itu, Najib mengetuai delegasi Malaysia dalam lima mesyuarat iaitu Sidang Pleno dan Permukiman, Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Asean dengan Wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin Asean dengan Wakil Belia, Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin Asean dengan Wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan Sidang Kemuncak Ke-7 Segi Tiga Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Pada sesi plenari pada Sabtu Najib menyarankan Asean supaya mampu mencorakkan pembangunan global jika pertubuhan itu boleh selari dengan tema “Asean akan menunjukkan caranya”.

Selain itu beliau turut menyarankan supaya Asean perlu terus berusaha untuk mencapai kemajuan sosial dan memajukan ekonominya menerusi tadbir urus yang baik untuk menjadi rantau yang lebih berjaya dan setanding dengan ekonomi paling berjaya di dunia.

Najib juga melahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan bijaksana Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Asean yang dipengerusikan oleh Indonesia, akan terus mencapai kemajuan besar dalam ekonomi dunia.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

Sumber : Bernama

Leave a Reply