News_archive

Najib Junjung Kasih Keprihatinan Tuanku Mizan

By Monday July 4th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan junjung kasihnya kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang sangat prihatin mengenai keamanan dan keselamatan di negara ini.

“Saya hendak melahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas rasa keprihatian yang amat berat Seri Paduka untuk memastikan tidak ada sebarang kejadian yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan dalam negara kita.

“Di atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan ini yang amat tinggi lagi mendalam, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telahpun menitahkan supaya semua pihak tidak mengadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang dicadangkan pada 9 Julai.

“Saya mengucapkan terima kasih bahawa semua pihak telahpun menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dengan ini, maka tidak akan diadakan sebarang perhimpunan jalanan pada 9 Julai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis tadbir urus Agensi Inovasi Malaysia di pejabatnya di sini Selasa.

Penganjur demonstrasi jalanan 9 Julai ini kini mengubah rancangannya untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium selepas pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara hari ini.

Ditanya sama ada beliau menghadap Tuanku Mizan hari ini, Najib berkata: “Bila saya jumpa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya, itu hak saya sebagai Perdana Menteri yang merupakan penasihat utama kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.

Sumber : Bernama

Leave a Reply