News_archive

Najib Juga Suka Berjenaka

By Friday May 6th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Walaupun sibuk dengan hal pentadbiran yang serius, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan bahawa beliau juga seorang yang suka berjenaka.

Di sebalik menjawab pelbagai soalan daripada juruhebah mengenai dasar-dasar kerajaan apabila ditemu bual oleh stesen radio Hot.FM di Sri Pentas di sini, Najib juga menjawab soalan mengenai bola sepak dan kenangan beliau berbasikal semasa zaman kanak-kanaknya.

Najib, yang juga peminat setia pasukan Manchester United (MU), juga berjenaka mengenai pasukan-pasukan bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya terpaksa memohon maaf (kepada peminat Liverpool) terlebih dahulu. Kita tahu yang MU mempunyai saluran TV-nya sendiri, begitu juga dengan Chelsea.

“Tapi, Liverpool hanya menpunyai History Channel,” katanya disambut gelak ketawa di kalangan mereka yang berada di konti.

“Saya harap peminat Liverpool jangan pula tidak mengundi saya nanti,” katanya.

MU kini mempunyai peluang cerah untuk memburu gelaran berganda musim ini, selepas layak ke pusingan akhir Liga Juara-juara Eropah menentang Barcelona pada 28 Mei, dan mendahului pemburuan gelaran Liga Perdana dengan tiga lagi perlawanan.

Program sejam itu dihoskan oleh juruhebah Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran yang disiarkan secara langsung melalui 8TV.

Perdana Menteri juga mengimbau kenangan di mana beliau biasa berbasikal untuk membeli nasi lemak kegemarannya semasa membesar di Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau berbasikal dari rumahnya berdekatan Hospital Tanglin untuk membeli nasi lemak yang berharga antara 30 hingga 50 sen pada masa itu.

“Ia agak jauh, kadang kala saya pergi bersendirian, kadang kala saya pergi dengan adik saya,” katanya.

Najib yang kelihatan terhibur sepanjang program itu juga terpesona apabila lagu kegemarannya “Nobody” dendangan Wonder Girls dimainkan semasa bermain dam dengan Faizal.

Sumber : Bernama

Leave a Reply