Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib jangka umum Kabinet baru hari ini - Najib Razak
News_archive

Najib jangka umum Kabinet baru hari ini

By Wednesday April 8th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Tumpuan hari ini pastinya pengumuman penting Datuk Seri Najib Razak mengenai barisan Kabinet barunya sejak mengambil alih kepemimpinan negara, minggu lalu. Perdana Menteri dijadual membuat pengumuman barisan Kabinetnya itu yang diramal lebih kecil dan melakukan beberapa kejutan pada bila-bila masa hari ini. Bagaimanapun, laporan awal menyebut Najib akan mengumumkannnya di sini, jam 10 pagi ini dan satu lagi laporan selewat-lewatnya petang ini.

Sekurang-kurangnya enam menteri mungkin digugurkan, dengan menggabungkan beberapa kementerian, selain mewujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen yang dimansuhkan selepas pilihan raya umum tahun lalu. Difahamkan Najib sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi semalam berhubung pelantikan barisan Kabinet barunya. Antara menteri yang dikatakan akan digugurkan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang tewas jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti itu, tahun lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang turut kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, juga dijangka digugurkan. Dua menteri lain dijangka digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meletak jawatan, berkuat kuasa hari ini, selepas tewas pada pemilihan Umno. Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden, dijangka dikekalkan. Difahamkan, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan dilantik sebagai Senator untuk diserapkan dalam Kabinet baru. Shahrizat dijangka mengetuai kementerian lamanya, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bekas menteri, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis juga dikatakan akan kembali ke Kabinet, manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin akan dinaikkan pangkat menjadi menteri. Tiga Naib Presiden Umno diramal bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ke Kementerian Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Shafie Apdal bertukar ke Kementerian Pertahanan. Antara kementerian dikatakan akan digabungkan ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diserapkan ke Kementerian Pelancongan; Kementerian Pengajian Tinggi disatukan dengan Kementerian Pelajaran, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergabung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply