News_archive

Najib Jamin Kampung Puah Tidak Akan Hilang Identiti

By Friday January 20th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Kebimbangan penduduk Kampung Puah di sini berhubung pelan pembangunan yang mungkin menghilangkan identiti kampung itu sebagai sebuah perkampungan tradisi Melayu reda apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan status itu akan dikekalkan.

Memahami isi hati dan kebimbangan penduduk, Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berunding dengan syarikat pemaju, Aamin Development Sdn Bhd, supaya mengambil kira hasrat penduduk dalam merangka pembangunan.

“Saya faham isi hati masyarakat di sini yang ingin merasa hidup di dalam perkampungan tradisi di tengah-tengah bandar dan saya pun faham bahawa ini boleh jadi satu daya tarikan kepada pelancong.

“Jadi tak usah panjang cerita, saya minta Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Tan Sri Ahmad Fuad Ismail) bersama UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) berunding dengan syarikat pemaju berkenaan tolong bertimbang rasa sediakan sebahagian daripada tanah untuk masyarakat di Kampung Puah ini,” katanya disambut tepukan gemuruh dan laungan “Hidup Najib” daripada kira-kira 500 penduduk yang sedia menunggu sejak awal pagi di Balai Budaya Kampung Puah Lembah sempena program turun padang Perdana Menteri ke tiga kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Jumaat.

Turut hadir Raja Nong Chik, Datuk Bandar KL Datuk Seri Ahmad Fuad, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan dan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.

Pada 13 Ogos 2001, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mengemukakan surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kelulusan prinsip untuk melaksanakan pembangunan secara penswastaan antara DBKL dan Aamin Development Sdn Bhd untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah seluas 12.8 hektar di kampung itu.

Kampung lain yang terlibat dalam projek pembangunan melibatkan pembinaan antara lain unit kediaman dan pusat perdagangan bercampur itu ialah Kampung Puah, Kampung Puah Bahagian dan Kampung Chubadak Jaya, membabitkan 564 keluarga.

Perdana Menteri berkata walaupun projek itu telah diluluskan 10 tahun lepas, sebagai pemimpin bertanggungjawab beliau akan cuba sedaya upaya membantu merealisasikan hasrat rakyat dalam memperjuangkan untung nasib penduduk kampung terbabit.

Najib berkata secara peribadi beliau menyokong hasrat penduduk untuk mengekalkan identiti perkampungan warisan di kampung tersebut, namun yang pasti perkara itu sukar untuk diselesaikan melalui cara perundangan, dan kaedah terbaik baginya adalah melalui perundingan antara kerajaan dan pemaju.

“Ini cerita lama, cerita 10 tahun dulu, bukan cerita baru, jadi kita nak perbetulkan cerita lama mudah-mudahan kita dapat satu bentuk penyelesaian dalam perkara ini.

“Kalau mereka (syarikat) dah dapat 30 ekar, serahlah 10 ekar ke, 15 ekar ke supaya di sini kita boleh wujudkan sebuah perkampungan budaya Melayu di sini,” katanya.

Menyifatkan Kampung Puah begitu unik dan istimewa kerana dapat mengekal dan mempertahankan tradisi masyarakat dan komuniti Melayu di tengah bandar raya Kuala Lumpur, Najib berkata beliau amat gembira dengan cara hidup sedemikian dan berharap keadaan itu dapat terus dikekalkan di sebalik pembangunan yang dirancang.

Perdana Menteri memohon penduduk untuk sama-sama berdoa supaya hasrat mereka dimakbulkan di samping kerajaan dipermudahkan dalam setiap usaha yang dilakukan bagi memperjuangkan nasib penduduk kampung itu.

Kampung Puah, sebuah perkampungan tradisi yang terletak di Jalan Gombak di pinggir ibu kota, sebelum ini telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai hab seni budaya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika mengumumkan perkara berkenaan pada Februari tahun lepas dilaporkan berkata Kampung Puah dipilih kerana penduduknya masih mengamalkan tradisi kampung seperti gotong-royong serta mereka sangat rapat antara satu sama lain.

Menurut Rais suasana di kampung itu berbeza daripada keadaan di Kampung Baru di mana walaupun masih kampung Melayu, tetapi daripada segi amalan dan tradisinya, ia “sudah ditarik” oleh arus pembangunan kota raya.

Terdahulu ketibaan Najib di kampung itu dalam keadaan hujan gerimis disambut paluan kompang, sebelum beliau dibawa bertemu dengan dua orang warga emas Mohd Tasar Sajimin, 85, dan Abdul Ghani Ibrahim, 76, yang merupakan antara penghuni tertua di kampung itu.

Beliau kemudiannya berjalan melalui deretan rumah-rumah tradisi di kampung itu sambil bersalaman dan melambai kepada penduduk yang sedia berbaris di sepanjang jalan, kira-kira 50 meter ke pentas utama.

Perdana Menteri juga menyertai penduduk untuk bersarapan, dan dalam ucapannya selepas itu, menzahirkan rasa berterima kasih kepada penduduk yang menyediakan menu sarapan iaitu nasi lemak yang disifatkan beliau sebagai yang terbaik pernah dinikmatinya.

“Nasi lemak bersama rendang yang dimakan hari ini adalah antara yang terbaik. Sebab kebanyakan orang sini berketurunan Minang tentu rendang yang dimasak juga sedap. Saya tahu sebab orang rumah saya juga orang Minang,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply