News_archive

Najib insaf pikul tanggungjawab

By Wednesday April 1st, 2009 No Comments

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau insaf terhadap amanah berat yang bakal dipikulnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dengan rasa tawaduk dan rendah diri sedar bahawa mengambil alih jawatan itu bukan mengenai status atau kuasa, tetapi soal tanggungjawab serta harapan rakyat kepadanya serta kerajaan.

“Saya amat insaf bahawa ini satu tanggungjawab sangat berat yang saya terpaksa pikul di atas bahu saya dan saya rasa satu penghormatan amat besar.

“Tetapi lebih penting daripada itu, saya bawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam, berasa tawaduk bahawa ini bukan soal status atau kuasa, tapi tanggungjawab kita dan harapan rakyat kepada saya serta kerajaan amat besar,” katanya selepas majlis penyerahan peruntukan sebanyak RM80 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bantuan Kerajaan di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Najib berkata, beliau perlu melakukan yang terbaik supaya rakyat yakin dengan kerajaan dan berasa boleh bergantung harap.

“Saya perlu melakukan yang terbaik supaya rakyat akan berasa yakin kepada kerajaan dan merasa ini kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat dan sebuah kerajaan yang mereka boleh bergantung harap kerana kerajaan ini tahu apa kehendak dan aspirasi mereka,” katanya.

Mengenai rancangan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Najib berkata, beliau perlu melakukannya selangkah demi selangkah.

“Tunggulah… saya suka lakukan selangkah demi selangkah, pada 3 (April) saya akan buat kenyataan mengenai ekonomi, politik dan arah tuju kerajaan. Saya belum menghadap Yang di-Pertuan Agong, (tetapi) saya harap baginda akan memberikan perkenan,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa pemimpin Umno yang dilaporkan disiasat Lembaga Disiplin parti berikutan dakwaan terbabit dengan politik wang, Najib berkata, siasatan masih dilakukan dan andaian tidak boleh dilakukan berdasarkan khabar angin.

“Terpulang kepada Lembaga Disiplin untuk melakukan apa yang wajar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply