News_archive

Najib Hos Majlis Barbeku Untuk Rakyat Malaysia Di Perth

By Sunday October 30th, 2011 No Comments

PERTH, 30 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Ahad mengakhiri tugasnya menghadiri mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di sini dengan mengadakan majlis barbeku ala Australia bagi rakyat Malaysia yang berada di sini.

Diadakan di sebuah taman indah, Burswood Park, “yang dipagari Sungai Swan”, kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis itu untuk beramah-mesra dan mengambil gambar bersama Perdana Menteri yang berada di sini sejak 26 Okt untuk mesyuarat CHOGM dan mesyuarat yang berkaitan.

Najib kemudian memberitahu para hadirin bahawa selepas melalui suatu jadual kerja yang padat, adalah baik untuk beliau bersantai bersama mereka dan melahirkan rasa gembira untuk melihat semangat 1Malaysia yang hidup subur di sini.

Perdana Menteri meminta mereka memberi sokongan untuk membantu menjayakan matlamat negara menjadi sebuah negara lebih progresif dan pesat membangun untuk merealisasikan hasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Najib berkata beliau dan anggota Kabinetnya tidak mampu untuk melakukannya tanpa sokongan rakyat. “Kami memerlukan rakyat Malaysia, tidak mengira di mana mereka berada, sama ada di Australia Barat atau di mana sahaja untuk berdiri di belakang kami dan memberi sokongan padu untuk mencapai matlamat kita semua,” katanya.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di majlis itu kira-kira sejam sebelum mereka berlepas pulang ke tanah air.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan isteri, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad dan isteri, Tengku Karina Tuan Yusoff serta Konsel Besar Malaysia di Perth, Hamidah Ashari.

Sumber : Bernama

Leave a Reply