News_archive

Najib Hargai Sumbangan Besar Masyarakat Sikh

By Tuesday April 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun masyarakat Sikh agak kecil tetapi sumbangan mereka terhadap sejarah dan pembangunan negara ini amat besar dan bermakna.

Perdana Menteri berkata masyarakat Sikh yang berjumlah sekitar 100,000 orang telah memberikan perkhidmatan yang baik dalam tentera dan polis selain dalam bidang profesional dan juga sebagai rakyat biasa.

“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih dan berharap anda akan terus memberi sumbangan dalam usaha kita membangunkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Vaisakhi (tahun baru) masyarakat Sikh di kuil Tatt Khalsa Diwan di Jalan Raja Alang di sini hari ini.

Najib berkata beliau berangkat ke majlis itu hari ini bagi membuktikan bahawa beliau dan kerajaan pimpinannya mewakili semua masyarakat, bangsa dan agama.

“Kehadiran saya di sini adalah bagi mengiktiraf sumbangan masyarakat Sikh kepada kemajuan Malaysia,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 2,000 orang yang hadir.

Najib berkata beliau hanya memberitahu penganjur petang semalam mengenai hasratnya untuk datang hari ini kerana beliau tidak mahu disambut besar-besaran.

“Saya tak mahu bunga manggar. Saya hanya ingin menjadi sebahagian daripada anda untuk melihat bagaimana anda menjalani kegiatan harian anda supaya saya dapat memahami lebih mendalam tentang aspirasi dan harapan masyarakat Sikh, dan semua masyarakat di Malaysia,” katanya.

Najib berkata itulah pendekatan yang akan digunakannya bagi kerajaan pimpinan beliau.

Perdana Menteri berkata beliau memperkenalkan konsep “Satu Malaysia” kerana berpendapat jika semua rakyat berganding bahu sebagai satu keluarga dan satu pasukan, mereka akan menjadikan Malaysia sebuah negara lebih kuat dan makmur berdasarkan prinsip saling percaya dan hormat antara semua kaum.

“Tak kira daripada kaum mana sekalipun, kita harus saling membantu. Jika seseorang itu perlukan pertolongan, maka orang itu harus dan mesti ditolong oleh kita semua.

“Jika inilah sikap kita, Malaysia akan menjadi lebih kuat dan bersatu lagi,” katanya.

Najib, yang diiringi dua anggota kabinetnya yang baru terdiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, menikmati sarapan tradisi masyarakat Sikh iaitu roti parata, pakoda dan barfi (sejenis manisan),

Pemangku Presiden Tatt Khalsa, Rejinder Singh dalam ucapannya, berkata masyarakat Sikh amat bangga dan terharu dengan kehadiran Najib pada sambutan Hari Vaisakhi tahun ini.

Katanya Perdana Menteri memberitahu beliau supaya menemuinya terus atau Dr Koh jika masyarakat itu menghadapi masalah yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Kami amat menghargainya kerana walaupun kami hanya golongan minoriti tetapi Perdana Menteri membuktikan beliau mengambil berat tentang kami,” kata Rejinder.

Sumber : Bernama

Leave a Reply