Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Harap Pertubuhan Kaum India Bantu Beri Penjelasan Mengenai GTP - Najib Razak
News_archive

Najib Harap Pertubuhan Kaum India Bantu Beri Penjelasan Mengenai GTP

By Saturday April 23rd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mahukan supaya pertubuhan-pertubuhan berasaskan komuniti kaum India dan media Tamil, turut memainkan peranan lebih luas dalam memberi penjelasan mengenai manfaat program transformasi kerajaan (GTP), terutama mengenai Program Transformasi Ekonomi (ETP) kepada komuniti India Malaysia.

Katanya walaupun beliau percaya majoriti kaum India Malaysia keseluruhannya menyokong rancangan transformasi kerajaan, termasuk ETP dan Model Baru Ekonomi (MBE), namun beliau melihat keterujaan mengenainya masih kurang.

“Mungkin ia disebabkan kurangnya kesedaran terutama berhubung program-program ETP dan dalam konteks bagaimana rancangan yang dirangka dapat memberi manfaat kepada komuniti dalam negara, termasuk kaum India,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Jumaat malam.

Beliau berkata sehubungan itu pertubuhan-pertubuhan seperti MAICCI perlu memberi penjelasan kepada komuniti India mengenai cara bagaimana mereka boleh mendapat manfaat menerusi pelaksanaan ETP.

Bercakap di hadapan kira-kira 10,000 tetamu, Najib berkata usaha memberi penjelasan mengenai manfaat program-program itu amat penting, supaya kaum India faham yang beliau membuat komitmen bagi pihak kerajaan, bahawa komuniti India tidak akan ditinggalkan dalam agenda negara.

Najib berkata komitmen itu bukan kenyataan politik atau retorik semata-mata, sebaliknya beliau yakin kerajaan akan dapat melaksanakan pembaharuan yang bermakna kepada komuniti India, supaya pihak yang kecewa dengan kerajaan suatu ketika dulu, kini mendapat perhatian kepimpinan semasa.

“Saya percaya sokongan komuniti India yang semakin bertambah padu terhadap Barisan Nasional (BN) berdasarkan kepada keputusan beberapa pilihan raya kecil lepas, menunjukkan bahawa keyakinan komuniti ini semakin bertambah terhadap kemampuan kerajaan Barisan Nasional membawa manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan komuniti India perlu terlebih dahulu faham objektif ETP dan pelbagai projek yang dirancang, di samping faham bagaimana ia boleh dikaitkan dengan mereka secara individu.

“Ia perlu dilihat dengan lebih jelas mengenai bagaimana pelaksanaan ETP itu dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa semua rakyat Malaysia termasuk komuniti India, supaya berganding bahu dan turut terbabit sama dalam transformasi bersama kerajaan, bagi memastikan bahawa komitmen kerajaan dan konsep 1Malaysia boleh diterjemahkan menjadi tindakan yang penuh bermakna yang dapat memberi manfaat kepada komuniti secara keseluruhannya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply