News_archive

Najib Hadiri Perundingan Tahunan Ke-8 Malaysia-Indonesia Khamis

By Wednesday October 19th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Perundingan Tahunan Ke-8 Pemimpin Malaysia-Indonesia pada Khamis yang akan dihoskan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di Lombok.

Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Delegasi perdana menteri pada perundingan tahunan itu akan termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, beberapa menteri Kabinet yang lain serta pegawai kanan pelbagai kementerian dan jabatan, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

“Di samping perundingan mereka mengenai hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Protokol Pindaan bagi Perjanjian Penghindaran Cukai Dua Kali dan Pencegahan Pengelakan Fiskal bagi Cukai Pendapatan 1991.

“Protokol itu bertujuan memperkukuhkan lagi kerjasama kewangan dan ekonomi antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Perundingan tahunan itu dianjurkan secara bergilir di antara kedua-dua negara. Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-7 di Putrajaya pada 18 Mei tahun lepas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply