News_archive

Najib Hadiri Majlis Perkahwinan Anak Setiausaha Politiknya

By Monday January 23rd, 2012 No Comments

KOTA BAHARU, 24 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di sini.

Najib turut merenjis air mawar dan beramah mesra dengan pasangan pengantin Fairuzuan Hamshi, 30, dan Siti Zulaikha Azmi, 28.

Turut hadir Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain.

Fairuzuan Hamshi memberitahu pemberita kehadiran Perdana Menteri pada majlis perkahwinannya adalah satu hadiah yang paling bermakna, dan berterima kasih di atas kesudian Perdana Menteri menghadiri majlis itu walaupun beliau sibuk dengan urusan negara.

Fairuzuan Hamshi, seorang pengarah sebuah syarikat di Petaling Jaya dan isterinya, Siti Zulaikha, seorang pegawai Kementerian Kewangan, memilih Mauritius sebagai destinasi berbulan madu mereka.

Mohd Fatmi, yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata kedatangan Perdana Menteri itu sangat ditunggu rakyat dan melalui majlis perkahwinan anaknya itu membolehkan mereka bertemu dengan pemimpin negara itu dengan lebih dekat.

“Walaupun Perdana Menteri sangat sibuk tetapi sempat hadir pada majlis ini dan turut berpeluang bertemu rakyat dari dekat,” katanya.

Kira-kira 10,000 tetamu hadir pada majlis perkahwinan itu.

Najib kemudian berlepas ke Pulau Pinang kira-kira pukul 3.20 petang ini bagi menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional Pulau Pinang, dan majlis Malam Pendekar 1Malaysia Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply