News_archive

Najib Hadiri Majlis Makan Malam Raikan Lawatan Perdana Menteri Britain

By Thursday April 12th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri jadual padatnya hari ini dengan meraikan rakan sejawatannya dari Britain, David Cameron dalam majlis makan malam yang dianjurkan oleh Asean Business Club.

Najib yang segak berbaju Melayu menghabiskan masa selama kira-kira 15 minit dengan Cameron dan ahli-ahli Asean Business Club serta delegasi perniagaan UK yang mengiringi perdana menteri Britain itu.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh 62 syarikat dari rantau Asean termasuk Malaysia dan rakan niaga dari United Kingdom, yang juga merupakan sebahagian daripada delegasi perniagaan yang diketuai oleh Cameron.

Majlis makan malam yang bertemakan “Masa Depan Ekonomi UK dan Asean” turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Kunjungan itu yang pertama kali bagi Cameron selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei 2010 dan juga pertama untuk Britain untuk tempoh hampir 20 tahun, menyaksikan pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Terdahulu, Najib dan Cameron mengadakan pertemuan dua hala selama kira-kira sejam di Seri Perdana, dengan perbincangan merangkumi lima bidang utama, iaitu hubungan politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan latihan, sains, teknologi dan alam sekitar serta pertahanan dan keselamatan.

Cameron yang sedang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia akan berlepas ke Myanmar Jumaat pagi.

Lawatannya ini mendahului kunjungan pasangan Diraja Britain Putera William dan Puteri Katherine, yang akan melawat Johor pada September sebagai sebahagian daripada kunjungan mereka ke beberapa negara bersempena dengan sambutan jubli berlian Ratu Elizabeth II.

Sumber : Bernama

Leave a Reply