News_archive

Najib Hadir Acara Lelongan Amal ECER Pekan Dorper

By Saturday April 21st, 2012 No Comments

PEKAN, 21 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri acara Lelongan Amal ECER Pekan Dorper sempena pelancaran Persisiran Warisan Pekan dan Karnival Rakyat di sini.

Pada acara itu, sebanyak 50 ekor biri-biri baka Dorper yang diternak oleh peserta projek Agropolitan Pekan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), telah dilelong kepada pembida daripada 12 syarikat korporat yang diundang khas.

Antara syarikat tersebut ialah Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, Ahamd Zaki Resources Sdn Bhd (AZRB) dan Pembinaan SPK Sdn Bhd.

Kuantan Port Consortium berjaya menjadi pembida tertinggi dengan menawarkan harga RM120,000 untuk 10 ekor biri-biri baka Dorper.

Terdahulu itu, sejumlah 350 ekor biri-biri jenis yang sama telah dijual dalam lelongan awam yang diadakan secara berasingan pada sebelah pagi.

Sejumlah RM466,300 berjaya dikutip daripada hasil jualan 439 ekor biri-biri pada lelongan itu, berbanding 465 ekor biri-biri bernilai RM265,000 pada lelongan kali pertama pada 2010.

Hasil jualan dari lelongan tersebut akan disalurkan semula kepada peserta projek berkenaan dalam bentuk bonus dan insentif. Projek Agropolitan adalah sebuah program meningkatkan sosio ekonomi bersepadu oleh Majlis Pembangunan ECER dengan matlamat utama menghapuskan kemiskinan tegar, mengimbangi kadar pembangunan antara kawasan pedalaman dan bandar dan menyediakan sumber pendapatan mampan untuk peserta.

Projek Agropolitan dilancarkan pada 4 Ogos 2008 dengan memberi tumpuan kepada dua aktiviti pertanian iaitu penternakan biri-biri baka Dorper dan perladangan kelapa sawit di dua lokasi dalam daerah Pekan, iaitu di Runchang dan Batu 8.

Sumber : Bernama

Leave a Reply