News_archive

Najib: Geran Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa Akan Diperkenal Tahun Depan

By Tuesday October 11th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Satu inisiatif baru iaitu Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa akan diperkenalkan tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ia terbuka kepada pelajar lanjutan Malaysia yang berumur antara 22 hingga 35 tahun dalam disiplin terpilih seperti pendidikan, seni, sukan, kerja kemasyarakatan dan sosial, alam sekitar, kesihatan, sains dan teknologi.

“Satu geran akan ditawarkan pada 2012 dan masing-masing dua dalam tahun-tahun berikutnya,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Merdeka di Dewan Filharmonik Petronas di sini Isnin malam.

Najib berkata penerima geran tersebut akan terlibat dalam projek kerjasama jangka pendek di institusi terpilih antarabangsa.

Belau berkata inisiatif itu diadakan bagi menggalak, mencungkil, membangun dan memupuk bakat di kalangan generasi muda.

“Pihak penganjur mahu mengenal pasti dan menghargai generasi muda Malaysia selepas merdeka yang merupakan contoh kepada semangat merdeka dan kepada mereka yang dalam bidang kepakaran tertentu menunjukkan komitmen kepada kecemerlangan dan menyumbang kepada penambahbaikan masyarakat sserta pembangunan negara.

“Generasi muda adalah masa depan kita dan adalah penting kita membimbing dan memberikan mereka peluang dan kemudahan untuk meneruskan minat mereka di institusi terbaik global, agar mereka berjaya dalam bidang yang dipilih dan memimpin negara kepada landasan pembangunan yang lebih tinggi,” kata Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Najib yang juga penaung Anugerah Merdeka menyampaikan Anugerah Merdeka kepada tiga rakyat Malaysia.

Arkitek kepada bangunan Spire Edge di Delhi, India, Muzium Kebangsaan Singapura dan pusat operasi teknikal DiGi, Datuk Dr Kenneth Yeang adalah antara tiga penerima anugerah tersebut tahun ini.

Yeang menerima anugerah dalam kategori Alam Sekitar berdasarkan sumbangannya dalam memajukan kaedah reka bentuk berkaitan ekologi dan perancangan penjagaan alam sekitar.

Dua penerima lain ialah Prof Datuk Dr Goh Khean Lee dan Prof Dr Mak Joon Wah dalam Kategori Pencapaian Akademik Cemerlang.

Dr Goh menerima anugerah di atas sumbangan beliau dalam memajukan kajian dan amalan gastroenterologi dan hepatologi di Malaysia ke tahap global.

Beliau yang juga pakar klinikal perubatan dalaman di Universiti Malaya telah menghasilkan 191 kertas kerja untuk jurnal antarabangsa, tujuh bab buku dan 200 abstrak.

Beliau juga muncul sebagai rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Naib Presiden Pertubuhan Gastroenterologi Dunia.

Prof Mak pula diiktiraf sebagai pakar global bagi penyakit filariasis dan malaria oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia setelah dilantik menjadi perunding dalam sekurang-kurangnya 17 kes berbeza.

Beliau telah memberi sumbangan besar dalam memajukan bidang ubat-ubatan tropikal di negara ini melalui kepimpinannya dalam pelbagai badan profesional.

Setiap kategori menawarkan hadiah RM500,000, sebuah trofi dan sijil.

Sumber : Bernama

Leave a Reply