News_archive

Najib doakan rakyat balik kampung selamat

By Sunday August 28th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendoakan perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri, sentiasa dalam keadaan selamat.

Beliau turut mengucapkan selamat bercuti kepada rakyat yang bukan beragama Islam dengan harapan mereka dapat meraikan Aidilfitri bersama-sama dengan rakan-rakan beragama Islam yang lain.

Bagi Najib dan keluarganya, seperti kebiasaan akan menyambut hari raya pertama di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

”Bagaimanapun saya amat berterima kasih kerana mempunyai banyak sebab dan peluang untuk balik ke kampung halaman saya di Pekan sepanjang tahun dan bukan untuk Aidilfitri sahaja,” katanya dalam blognya di http://www.kudosinventure.com/jalapeno hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, amalan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri adalah satu budaya yang amat penting bagi rakyat Malaysia.

Katanya, amalan itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tetap tidak melupai kampung halaman mereka biarpun sudah mempunyai kehidupan yang selesa di bandar.

”Meskipun ramai kalangan generasi baru yang lahir dan dibesarkan di bandar namun amalan balik kampung sudah terlalu mantap dalam budaya sehinggakan ia diterima sebagai sebahagian cara hidup rakyat negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha melakukan perubahan sosioekonomi di kampung antaranya dengan melancarkan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar.

”Ia bertujuan meningkatkan peluang ekonomi dan keusahawanan bagi rakyat di luar bandar, tanpa mengorbankan alam sekitar dan tradisi serta budaya,” katanya.

Dalam blognya itu, Perdana Menteri juga menyentuh komitmen bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak memperjuangkan pembangunan ekonomi di luar bandar, khususnya sewaktu memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

”Di bawah kepimpinannya, jalan dan jambatan dibina untuk memperbaiki hubungan darat. Sekolah, klinik dan dewan komuniti juga dibina. Jaringan bekalan air dan elektrik diperluaskan dan proses pertanian moden diperkenalkan.

”Hari ini, program seperti Karnival Usahawan Desa yang diadakan setiap tahun menyambung usaha menaik taraf kedudukan ekonomi usahawan desa melalui bantuan dan nasihat agar mereka dapat merealisasikan potensi pasaran produk mereka termasuk ke luar negara,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply