News_archive

Najib Diundang Sertai Pemimpin Global Bagi Kempen Pelancongan

By Monday October 17th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin Asia yang kelima diundang untuk menyertai Pemimpin Global bagi Kempen Pelancongan.

Ia merupakan inisiatif bersama Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) dan Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) yang diwujudkan khusus untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pelancongan di peringkat tertinggi politik.

Najib menerima “Surat Terbuka” bagi kempen itu daripada Setiausaha Agung UNWTO Dr Taleb Rifai, di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Malaysia menerima surat itu selepas empat negara Asia yang lain iaitu Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan China.

Dr Taleb memberitahu pemberita bahawa ia merupakan sebahagian matlamat bersama UNWTO dan WTTC dalam mengarusperdanakan pengembaraan dan pelancongan dalam agenda global menerusi kempen itu, yang juga berobjektif meletakkan pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan — keutamaan dalam agenda global.

Petikan dan gambar pemimpin-pemimpin global yang dirakamkan semasa majlis penyampaian surat itu akan dimuatkan dalam buku khas yang akan diterbitkan pada Jun tahun depan.

“Ia (pelancongan) adalah industri ketiga terbesar di dunia, namun masih belum mendapat sokongan politik yang mencukupi untuknya. Sebab itu kenapa kami memutuskan untuk menemui ketua-ketua negara (dan kerajaan) secara terus,” jelas Dr Taleb.

Sebanyak 14 ketua negara dan kerajaan telah menyertai kempen itu setakat ini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah wakil UNWTO ke Asia dan Pasifik, Xu Jing, dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Sumber : Bernama

Leave a Reply