News_archive

Najib Dijangka Umum Projek ETP Yang Baharu Dan Menerujakan Dalam Tempoh Beberapa Bulan Akan Datang

By Friday April 1st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengumumkan projek utama dan menerujakan yang baharu yang bertali arus di dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sambil mengukuhkan pelaksanaan secara berkesan program transformasi ekonomi Malaysia.

Selepas mengumumkan sebanyak 60 program sehingga ini, Perdana Menteri berkata beliau mahu pelan itu dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap projek-projek permulaan, yang termasuk projek besar dan projek yang memberi kesan yang besar dan tidak semata-mata projek-projek infrastruktur.

“Ia meliputi keseluruhan kerja raya, yang termasuk projek pelaburan yang besar yang akan mewujudkan nilai yang tinggi terhadap ekonomi dan pekerjaan,” yang merupakan kunci bagi mengingati tempoh semasa kerajaan, katanya dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat.

Semasa temubual panjang lebar mengenai pencapaiannya selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri dengan wartawan Bloomberg Robyn Meredith dan Barry Porter mengenai ekonomi, katanya matlamat jelas Malaysia ialah untuk menjadi satu negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Antara lain, temubual itu menyentuh mengenai inflasi, subsidi, impian nuklear Malaysia, kedudukannya sebagai peneraju di dalam kewangan Islam, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum akan datang, dasar afirmatif Bumiputera, penglibatan Kuala Lumpur di dalam Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik dan kesan China dan Yuan.

Ketika ditanya sama ada Malaysia berupaya memenuhi sasaran keluaran dalam negara kasar Bank Negara Malaysia antara 5.0-6.0 peratus pada tahun ini, katanya: ” Saya percaya kita masih berada pada landasan mencapai 6.0 peratus melalui campur tangan positif kerajaan di dalam bentuk projek permulaan dan sistem pengangkutan bandar massa bawah tanah yang besar bagi Greater Kuala Lumpur.

“Ini akan mewujudkan kesan pergandaan dan itulah juga bentuk pelaburan yang akan membantu kami mencapai pertumbuhan 6.0 peratus pada tahun ini,” katanya.

Mengenai usaha membiayai projek transit pantas massa, katanya: “Kami boleh membiayainya secara kreatif agar ia tidak membebankan di segi perbelanjaan pembangunan.

“Jadi, dari satu segi, ia merupakan satu projek yang berdaya maju kerana pulangannya adalah baik dan akan mewujudkan kesan pergandaan,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga kemungkinan menjual bon bagi membiayai projek yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan dengan menggunakan sumber dalam negara.

“Kami mempunyai simpanan yang besar di Malaysia, jadi ini adalah sumber pelaburan atau pinjaman yang kami boleh gunakan bagi membiayainya,” katanya.

Perdana Menteri menolak tohmahan bahawa kerajaan akan mengelak langkah untuk menaikkan harga petrol, sambil menyatakan mengenai keperluan dilakukan langkah yang fleksibel ke arah pemberian subsidi.

“Kami tidak mahu peningkatan harga di Malaysia menjadi satu bebanan bagi rakyat,” katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap inflasi yang meningkat sedikit tetapi masih berada di bawah paras 3.0 peratus.

Mengenai kemungkinan langkah untuk menghentikan sementara pemotongan sabsidi dan membuat pemotongan sabsidi yang besar pada masa depan kelak, Najib berkata: “Itulah yang sedang kami kaji pada masa ini secara keseluruhannya kerana kami perlu melihat berapa banyak lagi sabsidi yang boleh ditanggung oleh kerajaan.”

“Pada masa yang sama, kami komited untuk mengurangkan defisit. Defisit itu tidak boleh dibenarkan meningkat. Ia berada pada paras 5.6 peratus sekarang ini. Kami berharap untuk menurunkannya ke paras 5.4 peratus dan akhirnya ke sekitar 3.0 hingga 4.0 peratus.”

“Tetapi, itu adalah matlamat jangka sederhana. Pada masa yang sama, kami perlu mengkaji sesetengah cabaran yang perlu dihadapi antara keperluan domestik dan keperluan memberikan keyakinan di segi pengurusan makro kami,” katanya.

Mengenai sama ada terdapat perubahan dari sasaran defisit awal kerajaan sebanyak 2.8 peratus menjelang 2015, katanya: “Parasnya dijangka kira-kira 3.0 hingga 4.0 peratus bagi tempoh kira-kira lima tahun akan datang.”

Najib berkata Malaysia komited bagi mengurangkan hutang persekutuan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply