News_archive

Najib Dijadual Lakukan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Sibu Mulai 26 April

By Friday April 20th, 2012 No Comments

SIBU, 20 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sibu mulai 26 April.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di sini Jumaat, program pertama Najib di Sibu adalah menghadiri majlis jamuan malam yang akan dihadiri masyarakat pelbagai kaum.

Pada hari berikutnya, beliau dijadual merasmikan SJK Thai Kwang di Jalan Lanang.

Satu majlis besar-besaran sedang diatur yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tiong, Anggota Parlimen Lanang, juga adalah pengerusi lembaga pengurusan sekolah berkenaan.

Beliau berkata projek pembangunan semula sekolah itu melibatkan kos kira-kira RM12 juta.

Sekolah itu terdiri daripada bilik darjah yang baharu, dewan serba guna, makmal komputer dan dewan teater.

Tiong berkata dalam lawatan itu, Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sumber : Bernama

Leave a Reply