News_archive

Najib Dijadual Hadiri Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Di Dataran Merdeka

By Tuesday January 17th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Perbarisan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012, yang bakal disertai 100 kontinjen di Dataran Merdeka di sini pada 28 Jan ini, akan dimeriahkan dengan kehadirian Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail pada Selasa berkata kehadiran Perdana Menteri pasti memberi semangat kepada 7,800 peserta yang mewakili badan bukan kerajaan, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta untuk menampilkan perbarisan menarik pada acara itu.

Sambutan itu, yang kelapan bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan — bertemakan ‘Rakyat Bersatu Wilayah Persekutuan Maju’.

“Kami harap tema ini mampu merangsang warga kota untuk seiringan dengan kerajaan bagi memajukan dan memakmurkan lagi Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Pelbagai acara telah diatur sempena sambutan itu, termasuk Kuala Lumpur International Short Film Festival, dari 30 Jan hingga 1 Feb di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Festival itu, yang pertama kali diadakan, menerima 1,000 penyertaan dari 75 negara.

Ahmad Fuad berkata DBKL akan mengadakan pertandingan Kibar Bendera bagi pemilik bangunan di Kuala Lumpur serta pertandingan Jejak Bendera sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Pertandingan Kibar Bendera, yang tarikh tutup penyertaan pada 27 Jan ini, menawarkan hadiah RM5,000 buat juara manakala pertandingan Jejak Bendera dari 1 Feb hingga 29 Feb, dengan menawarkan hadiah utama RM3,000.

Festival Hari Wilayah Persekutuan akan diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad depan.

Ketika ditanya mengenai tanah perkuburan yang semakin berkurangan di sekitar Wilayah Persekutuan, Ahmad Fuad berkata DBKL telah mengenal pasti satu kawasan di Bukit Jalil untuk menempatkan perkuburan Islam, India dan Kristian tetapi masih ada penduduk yang enggan berpindah menyebabkan projek itu tidak dapat dilaksanakan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply