News_archive

Najib Dedah Usaha Burukkan Malaysia Menerusi Media Baru

By Sunday June 21st, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia di mata dunia menerusi media baru.

Namun, kata Perdana Menteri, cubaan itu boleh ditangkis sekiranya Malaysia dapat mempamerkan kejayaannya bagi membolehkan lebih ramai orang luar mengenali Malaysia dan mahu berurusan dengan negara ini.

“Saya lihat kebanyakan daripada mereka (orang luar), kalau sudah datang ke Malaysia, mereka tahu…baru mereka dapat memberi pengiktirafan yang lebih (terhadap Malaysia). Ini juga akan menambah tahap keyakinan mereka terhadap negara ini.

“Usaha memburukkan negara dilakukan melalui media baru dan juga mungkin ada pihak-pihak tertentu tapi saya yakin usaha yang kita lakukan dapat menonjolkan imej negara yang sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucap utama pada persidangan ketua-ketua perwakilan Malaysia di luar negara di sini hari ini.

Ditanya mengenai persepsi terhadap Malaysia di arena antarabangsa, Najib berkata Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang moden dan progresif dan sebagai sebuah negara Islam yang menghormati agama-agama lain.

“Ia merupakan contoh yang amat baik dan telah diiktiraf oleh Presiden (Amerika Syarikat, Barack) Obama sendiri dalam ucapannya di Cairo baru-baru ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata diplomat yang mewakili negara menghadapi banyak cabaran tetapi beliau yakin sekiranya mereka dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan mendapat tingkatkan kemahiran mereka, mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik dan berkesan.

“Bila kita ada perjumpaan seperti ini kita dapat memberi mereka maklumat terkini dan juga menentukan apa dia keutamaan dan fokus yang patut diberikan oleh mereka,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply