News_archive

Najib dedah sisi menarik kehidupannya

By Tuesday September 20th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR: Apa yang membuatkan Datuk Seri Najib Razak sentiasa bersemangat?

Perdana Menteri hari ini mendedahkan semuanya kepada rakyat Malaysia, apa yang membuatkannya sentiasa bersemangat, mendedahkan sisi menarik dalam kehidupan peribadinya dalam melaksanakan tugas dan memenuhi kepercayaan rakyat.
Dalam siaran langsung radio awal pagi dengan stesen MIX fm, hitz.fm dan Era, Najib telah ditanya pelbagai soalan, antara lain, bagaimana beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik, kekal sihat dan cergas, menguruskan masa, media baru yang digunakannya dan muzik kegemarannya.
“Saya juga ada kalanya berasa letih tetapi saya perlu melakukan yang terbaik untuk memenuhi kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada saya,” katanya semasa ditanya bagaimana beliau berdepan dengan jadual kerja yang padat.

Ditemu bual pada program MIX fm Breakfast Show with JD (Jason Desmond) and Dilly (Adila Shakir), Najib berkata ekoran beban kerjanya yang banyak, seolah-olah hari siang menjadi lebih lama dan malam hari pula bertambah pendek, dengan begitu ramai orang yang mahu berjumpa dengannya, malahan di rumah.

Santai dengan berpakaian kemeja T biru, seluar panjang hitam dan jaket biru tua, beliau berkata mentadbir sebuah negara tidak banyak beza dengan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat,”kecuali ia lebih besar”.

Menyatakan dirinya juga manusia biasa, Najib berkata beliau juga pada waktu-waktu tertentu memerlukan waktu senggang, misalnya untuk menonton program kegemaran di televisyen dan bersenam.
“Selagi anda mempunyai keseimbangan dalam gaya hidup anda, dengan itu anda tidak akan menjadi terlalu tertekan,” katanya kepada pendengar dan menambah beliau bersenam tiga hingga empat kali seminggu untuk kekal cergas.

Dan beliau juga mendapati bukan mudah untuknya keluar berjalan secara sendirian sejak menjadi perdana menteri Malaysia.

“Pernah sekali saya cuba keluar secara senyap-senyap tetapi seluruh Bukit Aman (ibu pejabat polis persekutuan) telah dimaklumkan. Jadi, saya terpaksa melupakan idea sebegitu,” kata Perdana Menteri dan menurutnya beliau telah menasihatkan pengawal peribadinya supaya tidak terlalu tegas semasa mereka mengawal keselamatannya.

Walaupun dirinya pemimpin terkemuka, Najib secara peribadi tidak dapat mengelak diri daripada mengagumi personaliti hebat lain, khususnya pemimpin anti-apartheid dan bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela.

“Beliau merupakan tokoh yang begitu hebat. Beliau bersifat amat pemaaf di sebalik kezaliman yang dilakukan ke atasnya dirinya selama bertahun-tahun. Apa yang amat mengagumkan saya ialah ketahanan dirinya,” katanya.

Disebalik keseriusannya dalam mentadbir negara, Najib turut mempamerkan sisi lucu beliau apabila bersetuju dengan permintaan dua pengacara program hitz.fm Morning Crew iaitu JJ (Johan Fernandez) dan Ean (Tengku Ean Tengku Nasrun) untuk mengenakan pengurus besar program AMP Radio Networks Yaacob Bakhtiar Abdullah (Jake Abdullah) atau lebih dikenali sebagai ‘The Jakeman’, dalam segmen popular saluran itu, ‘Gotcha’.

Pengurus isi kandungan rangkaian AMP Radio Networks Mohamed Raqeem Brian Abdullah, yang menghubungkan panggilan itu memberitahu The Jakeman: “Saya rasa perdana menteri di talian dan beliau perlu bercakap dengan anda.”

Najib, tanpa memperkenalkan dirinya, berkata: “Hi, Jake, apa khabar? Saya buat panggilan ini mengenai anak lelaki saya. Anak saya mahu menjadi deejay dan mahir memutarkan lagu. Saya buat panggilan ini sebagai seorang bapa. Mungkin anda boleh berikan satu peluang kepadanya untuk tampil pada program anda.”

The Jakeman, yang tidak percaya bahawa Najib di talian telah bertanya soalan untuk pengesahan.

“Boleh saya tanya anda sesuatu? Saya perlu tahu sama ada anda adalah perdana menteri atau tidak. Suara anda macam perdana menteri. Boleh saya tanya siapa nama anak anda?

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply