News_archive

Najib: Danajamin Ditubuh Mudahkan Syarikat Akses Pasaran Bon Malaysia

By Thursday May 14th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebuah institusi jaminan kewangan, Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), telah ditubuhkan dan memulakan operasinya mulai hari ini, bagi memudahkan syarikat mendapat akses yang lebih baik kepada pasaran bon Malaysia.

Perdana Menteri berkata Danajamin akan menyediakan penambahbaikan kredit kepada syarikat berkenaan untuk berbuat demikian, jika ia mempunyai penarafan perniagaan dan pelaburan berdaya maju.

“Sebagai sebuah syarikat yang diberikan taraf AAA oleh RAM Services Berhad dan Malaysian Rating Corporation Berhad, Danajamin menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan syarikat memperoleh pendanaan pada kos yang berpatutan dalam pasaran bon,” katanya dalam satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri di sini, Jumaat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata penubuhan Danajamin menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk memastikan syarikat yang berdaya maju terus mendapat akses kepada dana pembiayaan.

“Danajamin dimiliki oleh kerajaan dan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion. Modal berbayar ini akan ditambah kepada RM2 bilion jika diperlukan,” katanya, sambil menyatakan langkah menubuhkan institusi itu dilakukan berikutan pengumuman yang dibuat semasa Pakej Rangsangan Ekonomi kedua pada 10 Mac, lepas.

Dengan mempunyai modal berbayar awal sebanyak RM1 bilion, Danajamin dijangka berupaya mengunderait jaminan bon sehingga RM15 bilion, katanya.

Beliau berkata Danajamin ialah syarikat insurans berlesen yang ditubuhkan mengikut Akta Insurans 1996 dan tertakluk kepada pengawalseliaan Bank Negara Malaysia.

Sebagai entiti berlesen yang menjalankan perniagaan insurans jaminan kewangan, beliau berkata Danajamin akan ditadbir mengikut tadbir urus korporat dan keperluan kehematan yang tinggi bagi memastikan operasi komersilnya akan berterusan untuk jangka masa sederhana dan panjang.

“Pihak pengurusan Danajamin akan melapor terus kepada sebuah Lembaga Pengarah bebas yang terdiri terutamanya daripada kalangan profesional yang berpengalaman luas dalam sektor kewangan.

Najib berkata Dato Sri Abdul Hamidy Abdul Hafiz, yang berpengalaman luas dalam sektor perbankan Malaysia, telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah itu.

Danajamin memperlengkapkan pelbagai reformasi dan inisiatif yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan peranan pasaran bon dalam ekonomi negara.

Kini Najib berkata syarikat memenuhi sebahagian besar daripada keperluan pembiayaan mereka melalui pasaran bon, yang menyumbangkan 58 peratus daripada jumlah keperluan pembiayaan, berbanding dengan 21 peratus pada tahun 1998.

“Ini merupakan transformasi yang nyata sejak beberapa tahun dan merupakan perkembangan yang menggalakkan ke arah memperkukuhkan lagi peranan sektor kewangan dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Najib berkata Danajamin juga dijangka menjadikan pasaran bon lebih kukuh dan mantap untuk terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi negara.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kriteria untuk jaminan daripada Danajamin dan operasinya akan diumumkan oleh syarikat itu lewat hari ini.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply