News_archive

Najib Dan Cameron Adakan Perbincangan Di London

By Friday July 15th, 2011 No Comments

LONDON, 15 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Britain David Cameron mengadakan perbincangan di No.10 Downing Street di sini pada Khamis, dalam usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Pertemuan itu diadakan sempena lawatan rasmi empat hari Najib ke United Kingdom (UK) atas jemputan Cameron.

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan sejurus selepas ketibaan Najib di pejabat Perdana Menteri Britian itu yang terletak di tengah kota London dalam cuaca yang agak dingin walaupun kini adalah musim panas.

Najib disambut penuh mesra oleh Cameron, dengan kedua-dua pemimpin bersalaman sambil memberikan gaya istimewa untuk dirakamkan oleh jurufoto dan jurukamera sebelum masuk ke dalam bangunan itu untuk berbual dan diikuti dengan majlis makan tengah hari yang dihoskan Cameron.

Terdahulu, ketibaan Najib di Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel UK disambut oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel UK William Hague, sebelum berjalan pada jarak yang dekat ke No 10 Downing Street.

Sebelum itu, Najib dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, kediaman rasmi keluarga diraja British di London.

Pada majlis perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Malaysia dan UK turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang berobjektif membanteras jenayah merentas sempadan.

Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein manakala UK diwakili Setiausaha Kementerian Luarnya Teresa May.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis jamuan petang yang dihoskan Hague.

Memorandum persefahaman bagi membanteras jenayah merentas sempadan yang ditandatangani hari ini memperuntukkan peluang-peluang strategik kerjasama dalam bidang keganasan antarabangsa, jenayah terancang, pemerdagangan orang dan penyeludupan pendatang serta pengedaran dadah narkotik, bahan psikotropik dan bahan-bahan kimia perlu.

Perjanjian itu turut meliputi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan; penyeludupan barangan haram; pemalsuan, jenayah pemelancungan mata wang; penculikan dan pengambilan tebusan; jenayah siber dan bidang lain berkaitan jenayah merentas sempadan.

Program lawatan tiga hari Najib yang padat turut menyaksikan beliau menghadiri satu majlis yang dihoskan Datuk Bandar London, Alderman Michael Bear.

Dalam ucapan beliau pada majlis yang diadakan di Mansion House menumpukan, antara lain, mengenai suasana ekonomi Malaysia termasuk keunggulan negara dalam bidang kewangan Islam.

Perdana Menteri berkata keterbukaan, ketelusan dan penerajuan ekonomi yang seimbang adalah ciri utama Malaysia.

“Itulah yang sering ditumpukan dalam perniagaan dan perkara itu sangat penting bagi saya, dan sebab itulah saya mengadakan beberapa langkah bagi menyediakan arah tuju negara dalam dekad akan datang dan membina momentum pertumbuhan,” kata beliau.

Najib berkata Model Baru Ekonomi akan mewujudkan tindakan sebenar bagi meningkatkan peranan sektor swasta dan menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pelabur-pelabur asing.

Menurut Perdana Menteri, ia akan menghapuskan halangan kepada pelaburan dan meningkatkan insentif, meningkatkan persaingan, memperbaiki persekitaran perniagaan serta menseimbangkan semula peranan sektor awam dan sektor swasta.

Najib menjelaskan bahawa rangka kerja kawal selia Malaysia sangat menarik bagi sektor korporat asing yang mahu menerbitkan sukuk (bon Islam) dari Malaysia, dan pendekatan ini tidak hanya terbatas pada kewangan Islam.

“Saya bertekad untuk melakukan segala-galanya yang saya boleh untuk memudahkan para pelabur melibatkan diri dalam semua peluang pelaburan yang kami ada — memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, mengetepikan kerenah birokrasi dan menjadi pemangkin yang berani dan mengadakan pembaharuan yang berkesan,” demikian ikrar Najib.

“Yang demikian, saya menggesa anda, datanglah ke negara kami. Datang dan lihat sendiri bagaimana program-program kerajaan dan dasar-dasar mentransformasikan Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya.

Najib berkata usaha-usaha yang dilakukan kerajaan di Britain untuk memudahkan aturan dan pilihan instrumen kewangan Islam yang ditawarkan, dan mengadakan regim kawal selia di mana industri itu boleh berkembang maju seharusnya disambut baik.

Pada Khamis pagi, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat meja bulat dengan wakil-wakil daripada syarikat kereta api United Kingdom semasa melawat stesen kereta api antarabangsa St Pancras. Stesen itu menempatkan Eurostar bagi perkhidmatan kereta api ke Brussels dan Paris dari London.

United Kingdom telah menyatakan minatnya untuk turut serta dalam pembangunan sistem kereta api di Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply