News_archive

Najib Capai Kejayaan Besar Dalam Lawatan Ke Indonesia

By Thursday April 23rd, 2009 No Comments

JAKARTA, 23 April (Bernama ) — Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan lawatan pertamanya ke luar negara sebagai Perdana Menteri dengan mencapai kejayaan yang besar dalam bentuk komitmen Indonesia untuk terus memperkukuhkan hubungan bilateral, meningkatkan kerjasama dalam bidang baru dan jaminan penyelesaian sebarang masalah secara rundingan.

Komitmen Indonesia diberikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menganggap pilihan Najib menjadikan Indonesia destinasi pertamanya merupakan penghormatan yang tinggi kepada Indonesia dan rakyatnya.

Pada pertemuan kedua-dua pemimpin di Istana Merdeka pagi ini, dua persetujuan baru dicapai iaitu kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan tawaran Indonesia kepada Petronas untuk mengambil bahagian dalam projek minyak dan gas di Perairan Natuna.

Najib pula menawarkan kerjasama dalam bidang elektrik dengan memanfaatkan bekalan tenaga yang dihasilkan oleh Malaysia dalam Projek Hidro-Elrktrik Bakun di Sarawak untuk mencukupkan keperluan bekalan elektrik di Kalimantan dan penyaluran elektrik itu ke semenanjung Malaysia yang juga akan melalui kabel dasar laut yang merentasi perairan Indonesia.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil perbincangan yang dicapai pagi ini dan lebih-lebih lagi apabila lawatan kerja saya telah diangkat oleh Indonesia menjadi lawatan rasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media bersama dengan Susilo di akhir kunjungan hormatnya di sini Khamis.

Sebelum itu, Najib diberi penghormatan penuh sebagai Perdana Menteri dengan memeriksa kawalan perbarisan kehormatan pasukan khas pengawal Presiden diiringi 19 das tembakan meriam di perkarangan Istana Merdeka.

Awal pagi, Najib mengunjungi Makam Pahlawan Indonesia di Kalibata dan meletakkan kalungan bunga.

Ketibaan beliau yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan tujuh menteri disambut sendiri oleh Susilo dan Ibu Ani Yudhoyono.

“Bagi saya, Datuk Seri Najib akan mampu meneruskan hubungan persaudaraan yang akrab dengan Indonesia kerana beliau sejak dari dahulu semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, memang terlibat secara aktif dalam setiap perbincangan dan kesepakatan yang dicapai dengan Indonesia,” kata Susilo.

Beliau menggariskan bidang kerjasama yang telah dipersetujui sebelum ini dan akan dipertingkatkan dengan Malaysia di bawah kepimpinan Najib.

Bidang-bidang itu ialah:

? Jaminan kecukupan makanan

? Industri sawit

? Pengeluaran beras

? Industri minyak dan gas

? Pelancongan antara kedua-dua negara

? Tenaga kerja

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang telah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak bagi tenaga kerja Indonesia dan penyediaan sekolah bagi anak-anak pekerja Indonesia di Kota Kinabalu, beliau meminta Malaysia agar dapat mengizinkan pembinaan pusat-pusat kegiatan belajar bagi anak-anak pekerja Indonesia di kawasan pedalaman Sabah.

Bagi peringkat serantau, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama antara lain mencari jalan penyelesaian masalah penawanan kapal-kapal kedua-dua negara oleh lanun di perairan Somalia, Asean campur Tiga dan masalah pendatang Rohingya yang banyak mendarat di kedua-dua negara.

Ketika soal jawab pula, Susilo berkata pendirian Indonesia dalam isu Ambalat di Laut Sulawesi ialah mencari penyelesaian terbaik bagi tuntutan bertindih perbatasan di situ supaya akhirnya bukan sahaja penyelesaian terbaik dicapai malah kedua-dua negara boleh bekerjasama menerokai peluang yang ada di situ.

Kepada soalan lain, Najib pula berkata pemilihan Indonesia sebagai negara pertama dilawatinya bukan sahaja kerana faktor sejarah, persamaan budaya dan jarak yang dekat tetapi juga Indonesia mempunyai jumlah rakyat yang 10 kali ganda lebih besar dari Malaysia.

“Saya sangat berharap dan memandang ke depan untuk bekerjasama dengan lebih erat,” kata Najib yang menambah bahawa Susilo merupakan pemimpin asing pertama menelefon beliau mengucapkan tahniah atas pelantikannya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply