News_archive

Najib Cadang Insentif Pingat Emas Sukan SEA Ditambah

By Friday December 9th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk Sukan SEA dapat dinaikkan pada edisi akan datang.

“Bagi pemenang pingat emas individu pada temasya akan datang kita akan naikkan 100 peratus kepada RM20,000 dan pingat emas individu yang berikutnya dinaikkan kepada RM10,000.

“Dengan ini, kita harap ia akan dapat memberi suntikan semangat kepada ahli sukan negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Shakam Sukan SEA Indonesia di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, Jumaat.

Di bawah skim Shakam Sukan SEA sedia ada, setiap pingat emas individu akan menerima RM10,000 dan pingat emas individu kedua yang diraih atlet yang sama akan diberikan RM5,000.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan imbuhan kepada acara berpasukan.

“Saya dimaklumkan untuk acara berpasukan dan berdasarkan kepada statistik yang ada, anggota pasukan akan berkongsi hadiah dan setiap seorang akan menerima RM2,000. Jadi, saya hendak umumkan tambahan di mana supaya setiap seorang akan terima RM5,000,” kata Najib.

Penambahan imbuhan bagi acara berpasukan bagi pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia akan diberikan dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata ia menunjukkan Perdana Menteri prihatin terhadap kebajikan atlet.

“Bagaimanapun, atlet perlu ingat dengan nasihat Perdana Menteri yang mahu atlet tidak begitu selesa dengan kemenangan pingat emas di Sukan SEA.

“Kita sememangnya mengiktiraf sumbangan para atlet. Mungkin kadar dulu tidak lagi sesuai dengan corak kehidupan sekarang,” katanya.

Bagi atlet menembak, Nur Suryani Mohamed Taibi, penambahan imbuhan Shakam itu mengiktiraf segala pengorbanan para atlet dalam mengharumkan nama negara.

“Kami semua bukan melihat kepada hadiah wang ringgit semata-mata tetapi mahu segala penat lelah dan keringat kami dihargai,” katanya.

Sementara penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pula melihat penambahan itu sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik khususnya dalam Piala Suzuki tahun depan.

“Syukur dengan anugerah yang diberikan ini. Bukan saya sahaja yang gembira tetapi semua atlet yang terlibat juga turut sama gembira. Untuk pasukan kebangsaan, tumpuan kita ialah Piala Suzuki di mana kita menjadi tuan rumah. Sasaran saya, mahu ulangi kejayaan 2010,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply