News_archive

Najib Bidas Pembangkang Sasar Umno Dan BN Bila Hadapi Masalah Dalaman

By Saturday January 14th, 2012 No Comments

PARIT BUNTAR, 14 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pembangkang yang gemar menyasarkan Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila menghadapi masalah dalaman parti mereka.

Beliau berkata perkara itu sering terjadi dan parti pemerintah menjadi sasaran apabila pembangkang menghadapi masalah.

“Soalnya kenapa Umno menjadi sasaran. Punca masalahnya (adalah) masalah dalaman di antara PAS.

“Keretakan yang berlaku soal dalaman PAS yang membawa kepada pertandingan dan perubahan dari segi slogan PAS dan hala tuju PAS. Ini soal PAS bukan Umno,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa anggota Umno sendiri yang bekerjasama dengan pakatan pembangkang untuk menggulingkan BN.

“Dia boleh cakap, kalau dia tak dilanggar oleh polis pun dia boleh kata dia kena langgar,” kata Najib.

Mengenai rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan kempen di seluruh negara dan di luar negara bagi `merayakan’ keputusan dibebaskan daripada tuduhan meliwat Isnin lepas, perdana menteri berkata itu adalah perkara biasa.

“Pembangkang, apa modal yang ada pada dia. Kalau tak buat kempen pun (mereka akan buat) ceramah dan pertemuan, sebab negara kita demokrasi.

“Jadi masing-masing ada cara dan kaedah masing masing untuk meraih sokongan (rakyat)” katanya.

Ditanya sama ada kempen itu akan menjejaskan BN, Najib berkata BN akan tetap berhadapan dengan pembangkang pada setiap kali pilihan raya dan ini bukannya kali pertama.

“Jadi saya tak anggap ini aneh atau luar biasa. Cuma dia buat gempak (gempar) sikit tapi (itu) perkara biasa,” katanya.

Ditanya mengenai saranan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya calon pilihan raya membuat pemeriksaan kesihatan, Najib berkata sekiranya calon tahu lebih awal bahawa mereka menjadi calon ia boleh dilakukan.

“Kalau dia (seseorang) tahu jadi calon (sejak) awal lagi bolehlah buat, kalau tak tau (jadi) calon sukarlah,” katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata BN akan menumpukan kepada semua negeri pada pilihan raya umum akan datang dan bukannya negeri tertentu sahaja.

Sumber : Bernama

Leave a Reply