Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Bertemu Masyarakat Kelabit Di Tanah Tinggi Bario - Najib Razak
News_archive

Najib Bertemu Masyarakat Kelabit Di Tanah Tinggi Bario

By Thursday April 14th, 2011 No Comments

BARIO, 14 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menjejak kaki di kawasan tanah tinggi Bario di timur laut Sarawak untuk meluangkan masa bertemu masyarakat Kelabit yang berada pada 1,100 meter dari aras laut.

Sebaik tiba dengan helikopter dari Marudi, Perdana Menteri diberi sambutan tradisional masyarakat Kelabit pada majlis Rakyat Bersama Pemimpin di Balai Raya Bario.

Najib juga melakukan tinjauan mesra dengan melawat klinik baru Bario dan juga sebuah pusat internet luar bandar yang menggunakan rangkaian satelit.

Kelabit adalah satu daripada kumpulan etnik paling kecil di Sarawak dengan kira-kira 5,000 penduduk.

Perjalanan udara dari Miri ke Bario menggunakan pesawat MAS Twin Otter 19 tempat duduk mengambil masa satu jam.

Ketika berucap pada majlis Rakyat Bersama Pemimpin di situ, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk membina jalan dari penempatan Ba’Kelalan ke Bario, yang jaraknya 30km, di bawah projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan.

Selain itu, Najib juga meluluskan peruntukan RM6 juta untuk pembinaan empat buah jambatan Bailey di sepanjang jalan di kawasan tanah tinggi tersebut yang hanya dihubungi dengan menggunakan pesawat udara ringan.

Ketika ini pembinaan jalan raya dari Lawas ke Ba’Kelalan bernilai RM60 juta sedang dilaksanakan bagi kemudahan penduduk tanah tinggi tersebut.

Najib berkata sebanyak 100 buah rumah penduduk Bario juga akan dibaik pulih di bawah projek yang dilaksanakan oleh 1Malaysia Development Board (1MDB) selain pembinaan jalan-jalan kampung di Bario.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sumber : Bernama

Leave a Reply