News_archive

Najib Berinteraksi Dengan Remaja Setempat Menerusi Futsal

By Tuesday April 12th, 2011 No Comments

KUCHING, 12 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memulakan interaksi bersama remaja setempat esok apabila beliau melawat ke gelanggang futsal di Jalan Muhibbah di sini yang dikendalikan oleh Kelab Sukan Komuniti Satok.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bahagian Satok Irwan Zulkarnain Hasbie Selasa berkata gelanggang itu, yang berada dalam lingkungan Kompleks Sukan Satok, digunakan oleh penduduk dari 12 kampung Melayu berhampiran selain penduduk Kuching yang ingin menyewa kemudahan itu.

“Kami amat berbangga kerana Perdana Menteri akan meluangkan sedikit masa daripada jadual beliau yang sibuk untuk berinteraksi dengan penduduk kampung,” kata Irwan, yang juga pengerusi kelab itu kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kompleks itu yang dilengkapi trek joging dan ruang parkir yang mencukupi selain dua gelanggang futsal, mula beroperasi sejak awal tahun lepas.

Dalam lawatannya ke kawasan Satok, Najib juga dijadual mengadakan lawatan ke SK Merpati Jepang untuk bertemu rakyat dan menghadiri program 1Malaysia Development Berhad (1Malaysia).

Perdana Menteri juga dijangka menaiki helikopter dari sini ke Pusa dan Sebuyau di Bahagian Betong; Sadong Jaya di Bahagian Samarahan; dan Bau, dekat sini untuk melakukan tinjauan mesra untuk mendekati rakyat.

Beliau akan singgah sebentar di gerai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Simunjan, Samarahan untuk makan tengah hari bersama masyarakat setempat di sana.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tiga hari ke negeri ini, Perdana Menteri turut dijadual melawat Marudi dan Bario di Bahagian Miri; Lawas dan Limbang di Bahagian Limbang; Bandaraya Miri; Kapit; dan Song dalam beberapa hari akan datang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply