News_archive

Najib Berharap Dapat Perkukuhkan Hubungan Malaysia-China

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berharap beliau akan dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China semasa lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara itu, terutama dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Najib juga berharap hasil daripada lawatan empat hari beliau ke China, yang bermula hari ini, “akan mendorong negara kita terus mara ke hadapan dan semakin hampir untuk mencapai wawasan 1Malaysia.”

Beliau juga menceritakan bagaimana Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah meneroka satu era bersejarah apabila beliau menjalin hubungan dua hala dengan China 35 tahun lepas, ketika negara itu masih mengamalkan dasar pintu tertutup terhadap dunia luar.

Melalui tulisan terbaru dalam blog beliau www.1malaysia.com.my, Najib berkata kini, dunia sudah berubah dan China juga sudah pasti turut berubah.

Kata beliau, sejak kerajaan China mengubah dasarnya kepada sikap lebih terbuka, ekonomi negara itu telah melonjak dan memberi manfaat kepada Malaysia dalam banyak cara sejak tiga dekad setengah lepas.

Beliau berkata Malaysia adalah antara 10 pelabur terbesar di China pada 2008 dan rakan perdagangan keempat terbesar bagi negara itu.

“Hari ini, saya menjejaki semula langkah Allahyarham bapa saya apabila saya melakukan lawatan rasmi pertama sebagai Perdana Menteri untuk berjumpa dengan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

“Saya akan bawa bersama beberapa menteri serta satu delegasi perniagaan dan saya harap kami akan dapat memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perniagaan, perdagangan, usaha sama dan budaya,” katanya.

Najib mengetuai delegasi 35 anggota, termasuk enam menteri dan empat Anggota Parlimen dalam lawatannya ke China.

Selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wen Jiabao dan melakukan kunjungan hormat terhadap Hu Jintao, Najib juga akan melawat Beijing Foreign Studies University dan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-China serta beberapa majlis lain.

Sumber : Bernama

Leave a Reply