News_archive

Najib Berbuka Puasa Bersama Media Di Bernama

By Monday August 15th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mencatat sejarah buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri melawat Bernama sempena program berbuka puasa beliau bersama media yang dihoskan oleh agensi berita nasional itu di Wisma Bernama di sini Isnin.

Najib yang segak berbaju Melayu merah jambu itu tiba pada 6.45 petang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anak-anak, Norashman Razak dan Nooryana Najwa.

Beliau disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta isteri Datin Seri Masnah Rais, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan editor-editor kanan agensi itu.

Sebelum menghadiri majlis berbuka puasa, Najib melawat bilik berita utama Jabatan Pengarang di Tingkat Satu dan diberi taklimat ringkas oleh Yong mengenai operasi Bernama sebelum meninjau tugas wartawan dan jurugambar selain beramah mesra dengan petugas-petugas agensi itu.

Beliau kemudian menunaikan solat sunat Tarawih diikuti majlis moreh bersama kakitangan agensi itu sebelum merakamkan fotografi bersama jawatankuasa pengurusan Bernama dan meninggalkan agensi itu pada pukul 10.15 malam.

Terdahulu, Najib dan Rosmah menyampaikan sumbangan Aidilfitri yang berupa barangan keperluan dan duit raya kepada seramai 20 orang penghuni Pusat Jagaan Nur yang terdiri daripada warga emas dan anak-anak yatim.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan Bernama sebagai sebuah agensi berita yang mempunyai peranan untuk terus menjadi institusi penting dalam melakukan inovasi dalam penyampaian berita di negara ini.

Beliau turut memuji Bernama kerana pekerja-pekerja di agensi berita nasional itu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang juga mencerminkan mikrokosma negara Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G.Palanivel, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Datuk Aziz Ishak, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pengarang The Star Publications Datuk Seri Wong Chun Wai.

Sumber : Bernama

Leave a Reply