News_archive

Najib Benteng Terakhir

By Monday March 23rd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan mana-mana calon yang diketahui mengamalkan politik wang dan menang dalam pemilihan parti kali ini tidak dilantik menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Najib adalah peringkat terakhir pemulihan UMNO yang memegang kunci memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberi ruang dan jawatan dalam Kabinet beliau.

Katanya, jika calon-calon pengamal politik wang masih terlepas dan terpilih untuk menang, maka UMNO akan hilang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tambah beliau, pemulihan UMNO sebenarnya mempunyai empat peringkat sejak pilihan raya umum yang lalu namun dua daripadanya diketepikan.

Jelasnya, peringkat pertama sepatutnya bermula ketika mesyuarat bahagian berlangsung dengan semua bahagian memastikan pengamal politik wang tidak dicalonkan untuk bertanding sebarang jawatan.

“Kalau bahagian itu jujur, mereka akan calonkan orang yang tidak sogok wang, tetapi kita tahu bahagian-bahagian UMNO telah pilih calon yang terlibat dengan sogokan wang, ini peluang pertama hendak bersihkan UMNO yang sudah hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena program Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di sini hari ini. Hadir sama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Peringkat kedua, kata Dr. Mahathir, ialah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Lembaga Disiplin UMNO dalam memastikan parti itu bersih sepenuhnya daripada calon-calon yang korup.

“Lembaga Disiplin juga tidak berhasil, mereka masih merestui politik wang, mereka sudah hilang peluang untuk membetulkan parti atas sebab-sebab yang kita tidak tahu,” katanya.

Menurut beliau, kredibiliti Lembaga Disiplin tercalar apabila calon yang melakukan kesalahan sama diberikan hukuman lain-lain.

“Ada yang bersalah tetapi boleh bertanding. Ada yang diketahui umum mengamalkan politik wang tetapi didapati tidak bersalah,” katanya.

Peringkat ketiga, pula tambahnya, adalah semasa pemilihan yang bakal berlangsung sempena Perhimpunan Agung UMNO minggu depan tetapi beliau bimbang perwakilan tidak menolak calon-calon yang rasuah.

Justeru, katanya, peringkat keempat ialah apabila Najib dilantik menjadi Perdana Menteri dan beliau perlu memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberikan tempat.

“Peluang terakhir (membetul dan membersihkan UMNO) ada pada Najib. Kalau dia pilih orang seperti ini dalam Kabinet dia, maka peluang masa depan untuk UMNO telah luput,” katanya.

Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, beliau setakat ini tidak nampak UMNO boleh dipulihkan.

Ditanya apakah beliau melihat ada calon tertentu yang layak memegang sebarang jawatan peringkat Majlis Tertinggi, Dr. Mahathir berkata, salah seorang yang layak untuk memegang jawatan Naib Presiden ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

“Rais Yatim seorang yang layak jadi Naib Presiden, dia seorang yang berani,” jelasnya.

Bagi Ketua Wanita pula, beliau merasakan kedua-dua calon iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak layak mengetuai pergerakan itu.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak menamakan siapa yang layak pada pandangan beliau.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas banyak ketika ditanya peluang anaknya, Datuk Mukhriz untuk memenangi kerusi Ketua Pemuda UMNO.

“Saya tidak tahu, nasib dia kalau orang hendak pilih. Peluang dia ada, macam orang lain juga,” katanya.

Ditanya adakah sistem pemilihan UMNO kini yang menjadikannya terbuka kepada berlakunya korupsi, Dr. Mahathir menafikan perkara itu.

“Ia bukan soal sistem, kita sudah tukar dua kali, kita ada sistem bonus, ada yang boleh beli semua bonus-bonus. Kita ada sistem kouta, tetapi ada pihak yang boleh paksa supaya ada pihak yang tidak dapat.

“Ia macam sistem kewangan juga, tukar sistem tetapi penyangak diberi tanggungjawab, hilanglah semua duit. Ia bukan sistem tetapi budaya,” katanya.

Perubahan budaya itu, kata beliau, dapat dilihat apabila semasa dahulu wang tidak wujud dalam politik tetapi kini perwakilan mengambil duit dengan alasan “ada orang hendak beri, maka ambil saja”.

“Kalau orang itu jujur, dia tetap tidak akan ambil walaupun ada orang hendak beri tidak kira dulu atau sekarang,” katanya.

Jelas Dr. Mahathir, apa juga sistem pemilihan boleh dipakai jika ahli dan perwakilan bersikap jujur.

Sementara itu, katanya, beliau masih menimbangkan sama ada mahu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan sebagai pemerhati atau sebaliknya.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply