News_archive

Najib Bentang Usul Mansuh Dua Akta Di Dewan Rakyat

By Sunday October 2nd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 akan dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Perdana Menteri berkata pemansuhan dua akta itu menunjukkan kerajaan serius untuk melakukan transformasi demi kemajuan negara.

“Esok, saya sendiri akan bawa di Dewan Rakyat usul bacaan kali pertama untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 dan bacaan kali kedua ialah pada Rabu minggu akan datang.

“Jadi dengan ini, minggu pertama persidangan kita akan beri gambaran bahawa kita serius mengenai pembaharuan politik yang telah kita janjikan untuk negara,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-58 di sini Ahad.

“Prinsip yang kerajaan pegang mesti ada perimbangan yang betul, perimbangan antara hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketenteraman awam, harmoni atau keselamatan,” kata Najib.

Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka yang mengacau keharmonian dan ketenteraman awam berdepan dengan tindakan undang-undang.

Menerusi Perutusan Khas Hari Malaysia 15 Sept, Najib mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dalam perutusan itu juga, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Sumber : Bernama

Leave a Reply