Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Arah Pemudah Luas Skop Perkhidmatan - Najib Razak
News_archive

Najib Arah Pemudah Luas Skop Perkhidmatan

By Monday May 11th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) — Skop tugasan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah), akan diperluaskan lagi bagi mencakupi kepentingan rakyat, di samping tumpuan terhadap urusan sektor swasta dan awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin..

Perdana Menteri berkata keputusan tersebut selaras dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan kehendak rakyat.

Menurut beliau, perluasan itu akan membantu kerajaan meningkatkan pencapaian agar matlamat 1Malaysia dapat direalisasikan dalam erti kata sebenar.

“Skop Pemudah bukan sahaja tertumpu terhadap cara Pemudah boleh membantu sektor swasta dalam bentuk kerjasama antara sektor swasta dan awam, malah bagaimana Pemudah boleh melihat daripada perspektif rakyat.

“Apakah kemudahan yang dilaksanakan oleh kerajaan yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung perlu dilakukan penambahbaikan dan perubahan yang nyata,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama pasukan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata Pemudah telah diminta mengemukakan cadangan dalam pelbagai aspek yang menyentuh kepentingan rakyat, termasuk dalam isu-isu seperti pengangkutan awam serta masalah jenayah atau perumahan, agar ia boleh dipertimbang untuk pelaksanaan.

“Skop itu diperluaskan untuk meliputi bidang yang ada kaitan dengan kepentingan awam dan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Pemudah telah menyarankan supaya langkah-langkah ke arah proses liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan kewangan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, diteruskan termasuk tindakan untuk mengkaji semula kewujudan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).

“Mereka (Pemudah) berpendapat bahawa proses ini amat baik dan kena pada masanya. Ia perlu diteruskan kerana FIC dalam banyak aspek, telah menjadi hambatan kepada ekonomi negara,” katanya.

Pemudah juga jelas beliau, telah diminta untuk tampil dengan cadangan bernas ke aras penggubalan model ekonomi negara yang baru sebagai pendekatan bagi melakukan transformasi terhadap negara.

“Pemudah boleh bagi cadangan dan pandangan bagaimana model ekonomi Malaysia yang baru ini boleh menjadi kenyataan, untuk melakukan transformasi terhadap Malaysia, daripada negara berpendapatan sederhana atau negara berpendapatan sederhana tinggi kepada negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Terdahulu Najib berkata tindakan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Pemudah merupakan langkah yang amat bijak dan tepat kerana telah berjaya menghasilkan pelbagai langkah positif dan penambahbaikan yang sangat berkesan.

“Pemudah telah menambah baik banyak perkara yang diketahui telah memberi manfaat besar kepada rakyat seperti proses pengeluaran pasport, pengeluaran lesen dan penubuhan mahkamah komersil,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan pasukan tersebut sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun, tertakluk kepada keperluan Pemudah sama ada ia (mesyuarat) perlu ditambah atau sebaliknya.

“Kalau perlu boleh lebih dari itu (tiga kali), tapi terpulang kepada Pemudah untuk beri cadangan kepada saya,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply