News_archive

Najib arah PBT keluarkan banyak lesen, jangan tekan peniaga kecil

By Friday June 19th, 2009 No Comments

TANJUNG KARANG 20 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lebih banyak lesen kepada golongan peniaga kecil dan penjaja supaya perniagaan mereka terus berkembang maju dan pada masa sama tidak menekan golongan itu.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya PBT perlu memastikan para peniaga dan penjaja kecil terlibat termasuk yang sedia ada terus diberi pembelaan dan peluang perniagaan yang baik.

“Saya harap PBT jangan beri tekanan yang tidak patut kepada para peniaga dan penjaja atau menyebabkan amalan tidak sihat. Jangan sekat jalan, ini menyebabkan orang ramai susah hendak datang, saya tidak mahu perbuatan seperti ini.

“Bantulah mereka, bagi lesen secepat mungkin. Kita sebagai kakitangan kerajaan atau ahli politik patut memegang amanah yang diberi kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Malaysia di Padang Astaka di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.

Najib menegaskan, PBT juga perlu membantu golongan itu mencari lokasi strategik supaya perniagaan yang diusahakan mampu mendatangkan keuntungan seperti yang diharapkan.

Menurutnya, sehingga April lalu, sebanyak 69,250 telah dikeluarkan atau 227 lesen baru setiap hari.

Serentak itu, Perdana Menteri mengarahkan agensi terlibat seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agrobank yang menyediakan pinjaman mikrokredit supaya mengeluarkan pinjaman sebanyak mungkin.

Beliau mengumumkan, kerajaan sedia memberi peruntukan tambahan kepada TEKUN supaya lebih banyak peniaga-peniaga yang memerlukan bantuan mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan memberi peruntukan RM500,000 kepada gabungan persatuan-persatuan tersebut tahun ini dalam usaha bagi memastikan pentadbiran peniaga dan penjaja dapat berjalan lancar.

Najib berharap hubungan baik antara kerajaan dan persatuan-persatuan peniaga kecil dan penjaja kekal baik setelah penubuhan gabungan itu diilhamkan pada 1970-an oleh arwah bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketika itu.

Beliau berkata, kemunculan peniaga kecil dan penjaja terus berkembang dan kini golongan itu begitu besar sehingga mewujudkan kumpulan penting dari sudut ekonomi negara.

“Bagi kerajaan, kita sentiasa menyokong dan mempertimbangkan apa saja perkara yang penting untuk masa depan peniaga dan penjaja,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply