News_archive

Najib, Angka 11, Dan Tarikh Pilihan Raya

By Friday May 6th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mencetuskan teka-teki bahang pilihan raya umum ke-13 dengan berkata ia mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai nombor kegemarannya, 11.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata kesukaannya pada nombor itu menyebabkan ramai pihak meramalkan bahawa pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada 11 Nov tahun ini (11.11.11).

Beliau berkata demikian ketika menjadi jemputan khas program pagi stesen radio Hot.fm di Sri Pentas di sini.

Ketika ditanya lanjut oleh wartawan selepas program satu jam itu, Najib berkata tarikh itu ditimbulkan oleh pihak yang suka membuat teka-teki tarikh pilihan raya “untuk mengisi masa terluang”.

“Saya rasa elok diteruskan teka teki ini,” katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan perlunya untuk kerajaan BN terus bekerja melaksanakan program-program transformasi bagi menyakinkan rakyat.

“Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tak semestinya pada (bulan) 11 ataupun 11 haribulan.

“Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja,” kata Perdana Menteri.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada kemungkinan tarikh tersebut besar, Najib berkata: “Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu…Wallahhualam”.

Terdahulu dalam program itu, beliau turut menjelaskan buat pertama kalinya kaitan nombor 11 pada dirinya.

Najib berkata nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Nombor plat kereta rasmi beliau juga bernombor 11.

Sumber : Bernama

Leave a Reply