News_archive

Najib Akan Rasmikan Acara Pecah Tanah Di Sipitang Khamis Ini

By Sunday February 12th, 2012 No Comments

KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan acara pecah tanah bagi projek kilang baja urea ammonia Sabah (SAMUR) yang bernilai US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Sipitang Khamis ini.

Projek besar itu dimiliki oleh Petronas Chemicals Group Bhd.

Pengurus besar pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata kehadiran SAMUR bertaraf dunia di Sipitang akan mewujudkan kesan positif ke atas industri kimia dan berkaitannya, termasuk pertanian, hotel dan katering, penyenggaraan kilang dan pengangkutan.

“Ia juga akan menyediakan syarikat dan para usahawan prospek perniagaan yang meluas dan menjana pekerjaan untuk tempatan, sekali gus menyemarakkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya untuk komuniti tempatan di Sipitang,” kata beliau pada satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Petronas Chemicals Group.

Podtung berterima kasih kepada media yang telah mengetengahkan pelbagai projek dan program Petronas termasuk projek SAMUR.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini berkata yang syarikat-syarikat di Sabah akan diberikan projek bernilai sehingga RM600 juta dalam kilang SAMUR.

Beliau berkata sekutu konsortium yang baru dilantik, Sabah Energy Corporation, akan mengagihkan projek itu kepada syarikat dan kontraktor Sabah yang berkelayakan.

Musa berkata penyertaan tempatan dalam projek besar itu menunjukkan “permintaan kami telah dimakbulkan dan menandakan kesungguhan Petronas dalam memberikan peluang kepada warga Sabah untuk turut serta dalam kerancakan industri minyak dan gas.

Syarikat-syarikat yang berpangkalan di dalam negeri akan diberikan kontrak yang berkaitan kejuruteraan sivil, pengangkutan pedalaman, keselamatan, pembinaan jeti dan bekalan tenaga manusia, kata beliau.

Projek SAMUR itu dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 400 pekerjaan untuk rakyat tempatan sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply