News_archive

Najib Akan Melawat Hab Halal Tanjung Manis Di Sarawak Minggu Depan

By Sabtu Jun 20th, 2009 No Comments

KUCHING, 21 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melawat hab halal Tanjung Manis di Sarawak, pada 29 Jun, sebagai menandakan kepelbagaian kegiatan ekonomi melalui penyertaan pelabur asing.

Menurut makluman daripada Jabatan Penerangan Negeri hari ini, beliau dijadual merasmikan majlis pecah tanah di Selumit, bagi mewujudkan kemudahan untuk sebuah syarikat dari Taiwan, Sea Party Technology Co, Ltd.

Hab itu, yang merupakan sebahagian daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), telah dilancarkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Tanjung Manis pada 18 Feb lepas, dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat itu dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) yang berharga RM480 juta.

Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Najib ke Sarawak dalam tempoh sebulan kerana sebelum ini beliau telah menghadiri majlis bertemu rakyat di Kampung Pichin di Serian, dekat sini dan di Rumah Manai, Nanga San di Batang Ai dekat Lubok Antu dan dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri di sini pada Khamis.

Najib juga telah melancarkan projek landasan terbang tambahan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan merasmikan Four Points Hotel By Sheraton di sini disamping menghadiri sambutan rumah terbuka Gawai Dayak Kebangsaan di sini pada 13 Jun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply