News_archive

Najib Akan Berucap Di Persidangan Invest Malaysia

By Tuesday June 9th, 2009 No Comments

BANGKOK, 9 Jun (Bernama) — Komuniti pelaburan akan dapat melihat sepintas lalu hala tuju masa depan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menyampaikan ucapannya di Persidangan Invest Malaysia Kelima pada 30 Jun ini.

Ketua Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata meskipun Perdana Menteri telah membicarakan mengenai pakej rangsangan, persidangan itu akan menyediakan wadah terbaik kepada beliau untuk membincangkan mengenai wawasan jangka panjangnya dan transformasi ekonomi bagi negara.

“Komuniti pelaburan gembira dengan prospek untuk bertemu pemimpin baharu itu.

“Ini akan menjadi ucapan pertama beliau kepada komuniti pelaburan..penting untuk mendengar apa yang beliau akan katakan,” kata Nazir.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama di Forum Pelaburan Euromoney Thailand Ketiga di sini, hari ini, Nazir berkata persidangan itu tepat pada masa kerana ia berlaku pada masa yang sama dengan pelantikan pemimpin baharu, agenda transformasi baharu dan keperluan untuk menangani krisis ekonomi.

Persidangan dua hari itu yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia, CIMB dan disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal, dijangka menarik 500 penyertaan, yang termasuk pengawal atur, peserta pasaran dan pengurus dana tempatan dan juga asing.

Ditanya mengenai kesan kepimpinan Najib ke atas ekonomi negara, Nazir berkata abangnya itu masih lagi “di peringkat awal pentadbiran”.

Sumber : Bernama

Leave a Reply