News_archive

Najib Ajak Semua Rakyat Sokong Program Transformasi Negara

By Tuesday February 7th, 2012 No Comments

KUALA LANGAT, 7 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua rakyat termasuk masyarakat Cina memberikan sokongan kepada program transformasi negara bagi merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata semua kaum di negara ini akan mendapat manfaat hasil daripada program transformasi yang terus dilaksanakan oleh kerajaan ke arah mencapai status negara maju.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan 50,000 orang yang menyertai Karnival Chap Goh Mei 2012 anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di perkarangan Tokong Dong Zen, Jenjarum, dekat sini, Isnin malam.

Perayaan Chap Goh Mei disambut pada hari akhir Tahun Baru Cina.

Majlis itu turut disertai antara lain isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon.

Najib berkata usaha bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi bukan mimpi di siang hari, tetapi ia adalah satu visi yang boleh dicapai jika rakyat percaya dan memberi sokongan kepada proses transformasi negara.

Yang teramat istimewa di Malaysia pada tahun ini ialah tiga perayaan agama yang disambut secara berturut-turut dimulai dengan sambutan Maulidur Rasul pada Ahad, Chap Goh Mei pada Isnin dan Thaipusam pada Selasa, katanya.

“Tidak ada negara di dunia menyambut tiga hari kepercayaan secara berterusan (berturut-turut) melainkan negara kita ini. Ini satu yang unik bagi negara kita,” katanya.

Menurutnya walaupun wujud perbezaan dari segi kepercayaan tetapi ada persamaan dari segi nilai yang boleh dijadikan ikatan untuk membentuk sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Najib berkata setelah meluahkan konsep kesederhanaan sebelum ini, beliau mendapati agama lain juga mempunyai konsep kesederhanaan yang sama atau hampir sama yang membawa kepada sikap saling menghormati antara kaum.

Sumber : Bernama

Leave a Reply