News_archive

Najib Adakan Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Turkmenistan Mulai Isnin

By Sunday July 10th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan mulai esok atas jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov.

Ini adalah lawatan pertama Najib ke Turkmenistan sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata lawatan itu adalah inisiatif berterusan Malaysia bagi memperkukuhkan hubungan akrab yang sedia wujud dengan negara berkenaan.

Lawatan itu juga selaras dengan kepentingan besar Malaysia dalam menggalakkan kerjasama bermakna dan dialog di kalangan negara-negara di rantau Asia Tengah, kata kenyataan itu.

Menurutnya lawatan itu dijangka memperkukuh dan meningkatkan kerjasama dua hala khususnya kepentingan bersama dalam bidang minyak dan gas, perdagangan, kewangan, pelaburan, ekonomi dan pembangunan modal insan.

Perdana Menteri akan diiringi oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Anggota lain dalam delegasi negara adalah termasuk beberapa pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Semasa lawatan itu, Najib dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Berdimuhamedov di ibu kota Ashgabat, esok.

Pada hari keesokannya, Najib dan Berdimuhamedov akan merasmikan bersama Teminal Gas Petronas di Kiyanli, Turkmenbasy, kira-kira 600km dari Ashgabat.

Wisma Putra berkata pembabitan luas Petronas dalam sektor pembangunan minyak dan gas di negara itu adalah antara komponen penting kerjasama dua hala antara Kuala Lumpur dan Ashgabat.

Turkmenistan merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah dengan nilai dagangan dua hala berjumlah US$29.75 juta (RM89.07 juta) pada 2010 berbanding US$205.61 (RM615.59 juta) pada tahun sebelumnya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply