News_archive

Na Yeon Choi Rangkul Kejuaraan Edisi Kedua Kejohanan LPGA Malaysia

By Sunday October 16th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Pemain nombor empat dunia Na Yeon Choi dari Korea Selatan merangkul kejuaraan pertamanya dalam liga utama LPGA setelah dinobatkan johan edisi kedua Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia 2011 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur di sini hari ini.

Meskipun bermula hambar dengan ‘double-bogey’ di lubang kedua, pemain berusia 24 tahun ini bangkit pada lubang seterusnya dengan lima birdy untuk mencatat tiga bawah par 68 pada hari terakhir kejohanan hari ini.

Choi mengumpul mata keseluruhan 269 sekaligus mengatasi pesaing utamanya pemain nombor satu dunia Yani Tseng dengan satu pukulan.

Tseng, yang melakukan enam bawah par 65 hari ini muncul naib johan dengan mata keseluruhan 270, manakala Azahara Munoz dari Sepanyol memenangi tempat ketiga dengan 272.

“Saya gementar bermain hari ini setelah mendengar Yani sering membuat birdy. Beliau merupakan pemain mengancam terutama tahun ini.

“Namun saya gembira dengan permainan saya. Ia mengujakan untuk memenangi kejohanan dan saya berharap kemenangan saya memberi semangat kepada pemain muda di Korea,” katanya yang membawa pulang trofi dan wang tunai US$1.9 juta (RM6.4 juta).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu pemain terbaik Malaysia Kelly Tan sekadar menduduki tangga ke- 65 daripada 72 orang pemain dengan 297 pukulan.

Rakan sepasukannya Aretha Pan mengumpul 298 mata, Jean Chua – 305 mata dan Ainil Johani – 309.

Sumber : Bernama

Leave a Reply